Khamis, 28 Mei 2020

Polis tahan suspek kes gangguan seksual dalam talian Adun DAP

Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin baru-baru ini menerima ugutan
rogol dan bunuh di Facebook.

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang didakwa membuat kenyataan berbentuk gangguan seksual terhadap Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan hari ini berdekatan ibu pejabat polis.

“Dia turut disiasat atas kes lain membabitkan Ketua Pemuda MCA (Nicole Wong),” katanya.

Wong sebelum ini membuat laporan polis selepas menerima ugutan yang mengancam keselamatan anak perempuan dan dirinya.

Katanya, maklumat peribadinya disalahgunakan lelaki itu yang menyebarkan kandungan berniat jahat di media sosial.

Nik Ezanee berkata, lelaki itu yang mempunyai kad kelainan upaya (OKU), mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital swasta sejak 2016.

“Kes Jamaliah akan disiasat atas intimidasi jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, menggunakan perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan seseorang (Seksyen 509), menyebarkan bahan lucah (Seksyen 292) serta Akta Komunikasi dan Multimedia.”

Jamaliah dan seorang lagi wakil rakyat DAP, Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei baru-baru ini menerima ugutan rogol dan bunuh di Facebook.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam gangguan seksual dalam talian ke atas 2 Adun itu.

Katanya, sebarang bentuk gangguan seksual ialah tindakan jenayah yang tidak patut dipandang remeh dan dibiarkan menjadi budaya dalam masyarakat.

Lim, Jamaliah dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan untuk membendung gangguan dalam talian bagi melindungi keselamatan pengguna di alam maya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.