Jumaat, 1 Mei 2020

PM minta majikan benarkan pasangan ada anak kecil kerja dari rumah

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF23042020_HUMAN-INTEREST-PERUTUSAN-PM_03
Gambar hiasan. foto FAREEZ FADZIL
 
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri meminta majikan membenarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan menjaga anak-anak kecil di rumah bekerja secara berselang hari atau bekerja dari rumah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedia maklum wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak walaupun ada mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan tertentu.

Katanya, jika majikan boleh memberi sedikit kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang bekerja untuk datang ke tempat kerja secara selang-seli ia boleh membantu menyelesaikan masalah penjagaan anak.

“Hari ini isteri bekerja dari rumah, suami bekerja di pejabat. Esok suami bekerja dari rumah, isteri bekerja di pejabat. Jadi anak tak perlu dihantar ke pusat jagaan.

“Hanya mereka yang tiada pilihan sahaja menghantar anak mereka. Secara tidak langsung ini dapat mengurangkan jumlah kanak-kanak di pusat penjagaan dan lebih mudahlah untuk penjaga mengurus anak-anak ini mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas sempena Hari Pekerja, yang disiarkan secara langsung, sebentar tadi.

Justeru, Muhyiddin meminta supaya majikan boleh membenarkan pasangan suami isteri yang ada keperluan untuk menjaga anak-anak kecil di rumah atau bekerja dari rumah. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.