Jumaat, 29 Mei 2020

'Penyingkiran 5 pemimpin Bersatu tiada kaitan lembaga disiplin'

Pembatalan keahlian Dr Mahathir Mohamad, anaknya Mukhriz dan tiga yang lain sebagai ahli Bersatu tiada kaitan dengan lembaga disiplin parti itu, kata pengerusinya, Megat Najmuddin Megat Khas.

Ketika dihubungi, ahli politik veteran itu memberitahu Malaysiakini bahawa surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Suhaimi Yahya itu adalah "urusan pentadbiran" yang berada di luar bidang kuasa lembaga disiplin.

"Surat itu tidak datang dari saya atau lembaga disiplin. (Ini) tindakan pengurusan.

"Ini melibatkan fasal 10.2.2 10.2.3 yang memperuntukkan pendaftaran sebagai ahli gugur secara automatik disebabkan tingkah laku dan tindakan mereka sendiri," katanya mengenai peruntukan yang disebut sebagai alasan untuk membatalkan status mereka sebagai ahli.

Berikutan surat berkenaan, pemimpin dan anggota Bersatu yang menyokong Mahathir berpendapat sebarang tindakan memecat mereka mesti mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi atas nasihat lembaga disiplin parti.

Ditanya adakah keperluan memanggil pemimpin berkenaan di hadapan lembaga disiplin, Megat Najmuddin berkata: "Tidak. Fakta-fakta itu bercakap dengan sendirinya.Lembaga Disiplin nak tengok apa?"

"Tiada kaitan dengan lembaga disiplin.

"Ini adalah tindakan pentadbiran semata-mata untuk mengumumkan bahawa mereka secara automatik gugur sebagai ahli," katanya.

Selain Dr Mahathir dan Mukhriz, tiga pemimpin lain yang menerima surat berkenaan ialah Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Rahman, Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Susulan itu mereka mengeluarkan kenyataan bersama dengan mengatakan pemecatan tersebut adalah salah dari segi undang-undang dan bertentangan perlembagaan parti.

Megat Najmuddin, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan bersama itu.

Terdahulu, anggota majlis tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berpendapat parti itu tidak memecat lima pemimpin berkenaan, namun tindakan mereka duduk di blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu menyebabkan status keahlian mereka gugur secara automatik.

Sebelum ini Mahathir mengatakan beliau akan tetap duduk di blok pembangkang di parlimen.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya mendakwa kelima-lima mereka duduk sebagai anggota parlimen bebas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.