INI bukan soal ambil gambar pemandangan bunga teratai. Tetapi kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sudahlah mereka berkumpul beramai-ramai, tetapi turut mengheret sekali tiga orang bayi dan enam kanak-kanak yang belum mengerti akan apa itu Covid-19.
Atas kesalahan itu maka 38 individu termasuk tiga bayi dan enam kanak-kanak itu ditahan kerana berhimpun untuk mengambil gambar pemandangan bunga teratai di kawasan kolam tadahan banjir di Taman Semabok Perdana dalam Ops Covid-19 dan Cegah Jenayah Hari Raya Aidilfitri 2020 di sini, hari ini.
BERNAMA melaporkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata dalam operasi kira-kira 12 tengah hari tadi mereka yang ditahan terdiri daripada tiga bayi, enam kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, 18 tahun ke bawah (dua orang), 19 tahun hingga 55 tahun (20 orang) dan 55 tahun ke atas (tujuh orang).
Beliau berkata daripada jumlah yang ditahan itu, 20 individu dewasa dikompaun RM1,000 setiap seorang di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020 dan hukuman di bawah Peraturan 15(1) peraturan yang sama.
“Tindakan dilakukan berdasarkan maklumat bahawa terdapat orang awam sedang mengambil gambar berlatar belakang pemandangan bunga teratai di kolam tadahan banjir tersebut dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk tindakan selanjutnya termasuk kompaun ke atas 20 individu dewasa terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Di KEPALA BATAS, enam individu di Kampung Padang Benggali, Penaga, hari ini dikompaun RM1,000 setiap seorang atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata tindakan kompaun dikenakan ke atas enam individu terbabit atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran dan mengadakan aktiviti ziarah pada hari ketiga sambutan Aidilfitri.
“Kesemua mereka dikenakan tindakan tersebut susulan Ops COVID-19 yang dilakukan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bermula 3 petang tadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata 10 pasukan ditugaskan untuk melakukan pemantauan di kawasan perumahan di sekitar SPU termasuk di Kepala Batas, Bertam dan Tasek Gelugor.
Selain itu, Noorzainy juga berkata sejak hari raya pertama
sehinggalah jam 12 hari ini, seramai 101 orang telah dikenakan kompaun
atas pelbagai kesalahan seperti rentas negeri dan melakukan aktiviti
ziarah yang melanggar SOP PKPB. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.