Sabtu, 30 Mei 2020

'Bersatu tak terburu-buru bertindak pada Mahathir '

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, hari ini menegaskan tindakan parti itu ke atas Dr Mahathir Mohamad serta empat ahli parlimen mereka tidak dibuat secara terburu-buru.

Justeru, Muhyiddin meminta semua anggota Bersatu agar bersabar dan bertenang dengan perkembangan yang berlaku sekarang.

"Saya berharap ahli-ahli Bersatu dapat bersabar dan bertenang dalam menghadapi situasi terlucutnya keahlian lima orang bekas ahli Bersatu iaitu Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.

"Mereka tidak dipecat daripada parti. Sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti dengan serta-merta.

"Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Bersatu mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan keanggotaan Mahahthir serta empat pemimpin parti itu yang enggan menyertai kumpulan Muhyiddin bekerjasama dengan BN serta PAS.

Semasa parlimen bersidang selama kira-kira sejam baru-baru ini, mereka duduk di blok pembangkang.

Tiada individu di atas perlembagaan

Keadaan itu mendorong Bersatu menganggap keanggotaan Mahathir dan empat yang lain dalam Bersatu terbatal serta-merta. Bersatu juga menafikan mereka memecat kumpulan terbabit.

Surat pemberitahuan mengenai kedudukan mereka dalam parti dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Untuk rekod sebelum ini Mahathir merupakan pengerusi Bersatu dan jawatan tersebut berada di kedudukan tertinggi dalam hierarki Bersatu berbanding presiden.

Pengkritik kemudian mempersoalkan keabsahan tindakan Bersatu menganggap keanggotaan Mahathir, Syed Saddiq, Maszlee, Mukhriz dan Amiruddin terlucut berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan parti.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan - yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri - pula mengiktiraf Muhyiddin sebagai pemangku pengerusi Bersatu.

Semalam, Mahathir membuat kejutan apabila memasuki pejabatnya di ibu ibu pejabat Bersatu dan menunggu untuk mana-mana pegawai kanan parti menyampaikan keputusan mereka itu.

Pada sidang media kemudiannya Mahathir menegaskan beliau masih kekal sebagai pengerusi dan mengumumkan jawatan setiausaha kerja tiada dalam perlembagaan parti.

Kata Mahathir, pemecatan beliau sebagai pengerusi parti dan empat lagi pemimpin parti semalam adalah satu perkara di luar kebiasaan dan menyifatkan ia tidak sah.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga perdana menteri turut menegaskan bahawa beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti.

"Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti" katanya.

Tambah anggota parlimen Pagoh itu lagi, Bersatu "dukacita" dengan pilihan yang dibuat oleh Mahathir untuk tidak berada bersama-sama dalam wadah dan haluan perjuangan parti seperti yang diputuskan oleh majlis pimpinan tertinggi mereka.

"Tun (Mahathir) bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan Tun, saya ucapkan selamat maju jaya.

"Kita berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala tawfik dan hidayah-Nya.

"Marilah kita rapatkan saf bersama saya untuk terus perkukuhkankan kerajaan yg telah kita tubuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.