MESKIPUN berdepan pelbagai kecaman sejak beberapa hari lalu, namun ia tidak mematahkan semangat pendakwah bebas Ebit Lew untuk terus menyumbang khidmat baktinya kepada golongan memerlukan.
Ini dibuktikan menerusi entri terbaharu di akaun Facebook miliknya, semalam, yang mana beliau kembali meneruskan aktiviti kebajikannya.
Jumaat lalu, beliau membuat keputusan untuk tidak membantu secara langsung golongan kurang berkemampuan selepas dipanggil memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berikutan reaksi orang ramai terhadap tindakannya memaparkan aktiviti kebajikan yang dilakukannya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, Ebit yang terkenal dengan sikap pemurahnya membantu orang susah dan golongan memerlukan mendakwa tidak dapat tidur apabila mengetahui terdapat satu keluarga yang memerlukan bantuan menyebabkan beliau 'turun padang'.
"Menangis lagi di Baling, Kedah. Dah dua hari tak tidur apabila dapat berita tentang suami isteri dan empat anak masih kecil dah setahun tinggal di sini.
"Sedihnya. Selepas sahur terus ke sini. Jauh dari orang dan dalam kebun getah. Tak lepas kereta saya kena jalan kaki.
"Banyak nyamuk. Tandas tiada air, air hujan jer (saja). Setahun macam manalah anak baik tinggal di sini. Ya Allah maafkanlah saya. Ampunkan dosa diri saya," katanya.
Dalam hantaran sama, pendakwah itu memaklumkan keluarga terbabit sudah mendapat perhatian ketua masyarakat di kawasan berkenaan untuk membantu mereka mendapatkan rumah, tetapi ia perlu dilakukan selepas PKP.
Ebit melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan dan pihak lain yang banyak membantu keluarga itu termasuk memberikan bantuan makanan.
Bagaimanapun beliau yang sedih melihat kedaifan enam beranak terbabit tetap mahu membantu mencarikan rumah sewa sementara keluarga itu mendapat rumah daripada pihak kerajaan.
"Sehari adik (keluarga itu) di sini buat saya tak boleh tidur. Sedih sangat dan rasa bersalah.
"Bagi saya sehari mereka di sini adalah dosa buat saya yang tidur lena, makan sedap. Rumah saya besar dan kenderaan macam-macam (tetapi) anak kecil ini penuh nyamuk. Mereka anak yang baik, senyum bahagia, anak yang baik sangat, comel, cemerlang pelajaran dan sukan," katanya.
Menurutnya, beliau akan mencari rumah dan akan menanggung bayaran sewa selama mana mereka tinggal di rumah berkenaan.
Beliau meminta orang ramai mendoakan usaha mencari rumah sewa sementara kepada keluarga itu dipermudahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.