Rabu, 1 April 2020

Rujuk ke imigresen selepas jalani hukuman

Amir Mamat
 
ANTARA warga asing yang didakwa di Mahkamah Majistret Melaka kerana melanggar PKP. FOTO Amir Mamat
 
 
ENAM warga asing yang dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berhadapan dengan tindakan susulan selepas mengaku salah melakukan perbuatan itu.

Ini kerana, empat warga Nepal dan masing-masing seorang dari Bangladesh dan Pakistan itu diperintah supaya dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas mereka menjalani hukuman masing-masing.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman denda RM1,000 setiap seorang atau tiga bulan penjara selain memerintahkan mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Dalam pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah, tiga warga Nepal, Limbu Purna Bahdur, 44, Sarki Durga Bahadur, 33 dan Tamang PunyaPprasad, 39, didapati berada di sebuah padang awam di Taman Seri Krubong, Melaka pada 5.30 petang, 29 Mac lalu sekali gus melanggar Peraturan 3(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB).

Manakala warga Nepal, Sada Bharosi, 29, diikuti warga Pakistan, Ahmad Hamza Naseer, 27 dan warga Bangladesh, Majumber Shimul, 40 turut didapati salah melanggar Peraturan 3 (1), 3 (2) dan 3 (4) PPPPB dan dijatuhi hukuman sama.

Dalam pendakwaan sama, sembilan individu turut dijatuhi hukuman denda antara RM500 dan RM1,000 kerana melanggar PKP.

Mereka adalah Azmiran Abdul Rahman, 41, Mohd Noriman Zainudin, 39, S Viknesh Kumar 24, Devaraj, 20, Hasri Anuar, 40, Muhammad Azizi Abdul Hai, 29, Zulkifli Zakariah, 50, Ismail Ahmad, 46 dan Nik Amirul Nik Abdullah, 32.

Turut dijatuhi hukuman denda RM500 atau penjara sebulan adalah seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirda Mohd Yunos memohon hukuman berbentuk pengajaran memandang kes Covid-19 semakin tinggi, malah kerajaan sudah berusaha keras untuk membendung wabak ini daripada terus berleluasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.