Hasil keuntungan harian sindiket ini adalah RM150,000
KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan 44 warga China termasuk lapan wanita dalam
serbuan di pusat panggilan judi dalam talian yang beroperasi di empat
buah banglo di Taman Bucida Hijauan di Nilai, Negeri Sembilan.
Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan
Judi/Maksiat/Gangsterisme, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mohd
Zani Che Din berkata kesemua suspek berusia 18 hingga 45 tahun itu
ditahan pada 12.30 tengah hari.
Beliau berkata polis turut merampas enam
set komputer, 17 buah komputer riba dan 75 telefon bimbit yang digunakan
untuk mempromosi judi dalam talian.
“Mereka ini turut menganjurkan permainan judi serta pertaruhan dalam talian dan pelanggannya adalah daripada China.
“Aktiviti promosi judi dalam talian ini
dibuat menerusi aplikasi WeChat dan QQ Messenger,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Beliau berkata kegiatan itu dipercayai
beroperasi sejak enam bulan lepas dan setiap transaksi perjudian hanya
menggunakan mata wang Yuan.
“Banglo mewah ini disewa RM7,000 sebulan bagi setiap unit dan hasil keuntungan harian sindiket ini adalah RM150,000,” katanya.
Mohd Zani berkata kesemua suspek dibawa
ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk siasatan lanjut dan kes disiasat
mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.