Jumaat, 24 April 2020

Pelajar IPT boleh balik kampung mulai 27 April ini

Abdul Hakim Rahman, Astro Awani
Pelajar IPT boleh balik kampung mulai 27 April ini
Pelajar yang berada di IPT boleh balik kampung secara berperingkat mulai 27 April ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR: Pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) termasuk politeknik serta kolej komuniti yang masih berada di kampus akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula 27 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini memutuskan waktu perjalanan yang dibenarkan adalah dari 9.00 malam hingga 9.00 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal.

“Pergerakan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan hanya melibatkan perjalanan ke zon hijau sahaja. Pelajar yang terlibat juga akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan serta topeng muka.

"Kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi dalam bas," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Tambah Ismail Sabri, pelajar akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah atau Pejabat Daerah yang terdekat dengan rumah mereka dan kemudian anggota agensi Kerajaan yang ditugaskan akan menghantar mereka ke rumah masing-masing.

Bagi pelajar yang memiliki kenderaan sendiri, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan dari pihak IPT dan balai polis berhampiran dengan dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan hanya seorang dibenarkan untuk setiap kenderaan.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan penerbangan pulang kepada pelajar- pelajar yang berhasrat untuk pulang ke Sabah dan Sarawak.

"Pelajar yang akan pulang ke Zon Hijau di Sabah dan Sarawak akan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung mereka dan mereka mesti menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari," tambahnya.

Proses penghantaran pulang akan melibatkan seramai 53 ribu pelajar atau 85 peratus daripada pelajar IPT dibawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Katanya pihak KPT akan terus menyediakan makanan dan minuman kepada pelajar yang memilih untuk kekal dikampus masing-masing.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.