Rabu, 22 April 2020

NGO lapor polis akaun FB, Twitter ‘troll’ kenyataan menteri

Nazilah (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap pengendali laman Facebook yang didakwa berterusan mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat negara ini.
 
 
SHAH ALAM – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap pengendali akaun Facebook dan Twitter yang didakwa berterusan menggeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat negara ini.

Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, pihaknya membuat laporan berkenaan berikutan kesal dengan tindakan pemilik akaun terbabit yang memutarbelit kenyataan beberapa orang menteri setiap hari.

Menurutnya, situasi itu didakwa bakal menimbulkan kerisauan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat yang akhirnya akan mengancam keselamatan negara.

“Kami daripada Sekretariat Gabungan NGO Selangor, Malaysian Chambers of Entrepreneurs Bussiness Development (MCED) serta Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor (PAMPS) membuat laporan polis terhadap satu laman Facebook dan portal tidak bertanggungjawab yang menggunakan logo portal berita sebenar namun ditukar warna dan nama mengelirukan.

“Ini kerana pihak itu setiap hari mengeluarkan hantaran berita palsu, mempersendakan dan memutarbelitkan kenyataan menteri,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9 hari ini.

Nazilah dalam pada itu memohon pihak polis membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga katanya, perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menghasut rakyat supaya membenci dan menyalahkan kerajaan.

“Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) perlu dikembalikan bagi membendung kegiatan berniat jahat oleh pihak terbabit. Perkara ini perlu diambil serius oleh pihak kerajaan kerana jika tidak dibendung ia akan menjadi barah yang parah.

“Saya juga minta agensi media yang sebenar supaya mengambil tindakan kepada pihak ini yang menggunakan logo hampir sama dengan agensi itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.