Ahad, 26 April 2020

Malaysia tak boleh selesaikan isu Rohingya sendirian

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Jadi tanggungjawab Wisma Putra bawa isu ke ASEAN, antarabangsa


BANGI – Malaysia tidak boleh menyelesaikan isu pelarian etnik Rohingya yang berlaku ketika ini secara bersendirian, kata Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Beliau berkata, meskipun menjadi tanggungjawab sebuah negara Islam membantu kaum seagama yang berdepan jenayah genosid, namun tanggungjawab berkenaan tidak boleh diurus secara sentimen semata-mata.

Pemimpin gerakan Islam itu yakin tanggungjawab berkenaan hendaklah diurus mengikut sistem dan prosedur operasi standard (SOP) yang betul, kerana ia boleh membawa implikasi tidak baik kepada kepentingan negara dan rakyat Malaysia.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab Wisma Putra untuk bergerak di peringkat ASEAN dan juga antarabangsa bagi mencari penyelesaian kepada isu Rohingya ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada 17 April lalu media melaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mematahkan cubaan kira-kira 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya menyeludup masuk ke negara ini melalui perairan Langkawi.

Kumpulan PATI itu dikesan menaiki bot di kedudukan 70 batu nautika, iaitu 129.6 kilometer (km) dari barat Pulau Langkawi, pada jam 10.26 pagi sebelum ia diiring keluar dari perairan negara oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kejadian itu turut mengundang sentimen negatif masyarakat apabila ada segelintir pihak di media sosial membakar kebencian umum dengan mengaitkan insiden itu dengan tuntutan hak kerakyatan.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa bimbang terhadap kedaulatan negara berikutan kemasukan lambakan pelarian Rohingya ke Malaysia.

Mengulas perkara itu, Ustaz Abdullah Zaik berkata, saluran yang dipilih etnik Rohingya di negara ini untuk menyampaikan suara mereka melalui demonstrasi ternyata tidak menyenangkan hati rakyat Malaysia.

“Saya fikir mereka patut memahami budaya hidup rakyat Malaysia dan mencari jalan yang lebih berhemah untuk menyampaikan hasrat.

“Jika tidak, simpati rakyat Malaysia hanya akan bertukar menjadi benci,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.