Pelarian Rohingya sedia ada sudah timbulkan pelbagai masalah
BANGI – Jika Malaysia sudah tidak mampu menanggung beban pelarian yang sudah
sedia ramai, kerajaan berhak untuk menolak kehadiran pelarian Rohingya
baharu.
Naib
Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd
Hazizi Ab Rahman berkata, tambahan pula dengan musim pandemik COVID-19
dan bebanan ekonomi sekarang, keutamaan kerajaan Malaysia adalah
rakyatnya sendiri.
“Tanggungjawab
(taklif) dalam Islam berkait dengan kemampuan. Keutamaan negara kita
ini adalah untuk mengendalikan masalah sedia ada, bukan tambah masalah
baharu.
“Pelarian
Rohingya sedia ada di Malaysia juga sudah menimbulkan pelbagai masalah.
Antara masalah mereka ialah tiada pendidikan sempurna yang akan
menjuruskan kepada masalah sosial dan jenayah untuk jangka panjang,”
katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Dalam pada
itu, beliau menegaskan bahawa, perlu difahami bahawa isu Rohingya bukan
sekadar isu umat Islam tetapi isu kemanusiaan.
Justeru, katanya, semua negara ASEAN lain turut ada obligasi kemanusiaan dalam isu membabitkan masalah pelarian Rohingya ini.
Terdahulu,
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyekat sebuah bot yang membawa
kira-kira 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara pada
16 April lalu.
Menurut
kenyataan pihak TLDM, dengan keadaan penempatan serta kehidupan daif di
tempat asal mereka, dibimbangi kumpulan warga asing yang cuba memasuki
Malaysia sama ada melalui jalan darat atau jalan laut akan membawa
kluster baharu penularan COVID-19 ke negara ini.
Namun,
atas dasar kemanusiaan, anak kapal KD Lekiu mengagihkan bekalan makanan
kepada kumpulan warga asing itu sebelum mengiringi bot berkenaan keluar
dari memasuki perairan negara.
Bagaimanapun,
terdapat dua pertubuhan hak asasi manusia – Amnesty International (AI)
dan Human Rights Watch (HRW) yang tidak berpuas hati dengan tindakan
itu, mengkritik negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, yang
enggan menerima bot yang membawa pelarian Rohingya daripada berlabuh di
pesisir pantainya.
Bahkan,
Duta Majlis Rohingya Eropah ke Malaysia, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi
menggesa Putrajaya mempertimbangkan semula dasar menolak bot sarat
dengan pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.