Jumaat, 3 April 2020

Ego melangit, sangka diri kebal punca individu ingkar PKP

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF31032020_SJR-PERSIARAN-SURIAN-KPD-PJ_18
Anggota Polis membuat sekatan jalan raya OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak Covid-19 di Persiaran Surian, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI
 

KUALA LUMPUR – Rasa ego yang tinggi dan menganggap diri sendiri kebal menjadi punca masih ramai individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga memaksa kerajaan meningkatkan sekatan kepada ‘mood’ keras.

Pakar Psikologi Universiti Malaya, Profesor Dr. Mariani Md Noor berkata, dalam aspek tingkah laku manusia, sikap individu yang degil itu tercetus kerana menyangka diri mereka kebal dan ego melangit.
ProfMariani
Dr. Mariani Md Noor
Ia berpunca apabila bahaya yang sedang dihadapi ketika ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar oleh individu -individu terbabit.

“Sebab itu manusia ini ada sifat apabila sudah terhantuk baru nak tengadah. Mereka tidak nampak betapa pentingnya amaran-amaran ini walaupun tentera dan polis telah digunakan.

“Selagi ada sangkaan kekebalan itu pada diri mereka, perkara ini akan tetap berlaku. Apa yang penting untuk atasi sangkaan kekebalan itu, setiap individu perlu ada kesedaran untuk tak pentingkan diri sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Mariani berkata, sangkaan kekebalan itu menjadikan individu terbabit sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri.

Malah, golongan tersebut juga tidak mungkin boleh meletakkan diri mereka dalam kedudukan orang lain seperti merasakan keperitan terpaksa ditanggung oleh barisan hadapan yang ketika ini bertungkus lumus untuk memastikan rantaian wabak berkenaan disekat.

Dalam pada itu, Mariani berharap agar ada dalam kalangan setiap keluarga yang boleh memainkan peranan untuk memastikan agar ahli keluarganya akur dengan arahan kerajaan itu bagi membolehkan kehidupan dapat dinikmati seperti sedia kala.
Suzana-Ghazali
Suzanna Ghazali
Ujarnya, jika ketua dalam keluarga itu sendiri tidak dapat memainkan peranannya dengan baik maka situasi getir yang dihadapi tidak mungkin dipulihkan.

Sementara itu, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzanna Ghazali berkata, individu-individu yang masih berdegil itu mungkin tidak dapat mengecapi nikmat kehidupan di rumah seperti slogan “rumahku syurgaku”.

Katanya, sama ada mereka itu mempunyai masalah dengan pasangan ataupun anak-anak seperti tidak suka bunyi bising daripada jeritan atau tangisan.

Keadaan itu sudah cukup untuk menjadikan diri mereka berada dalam situasi yang membosankan.

“Faktor utama, diri yang tidak mahu memahami tentang bahayanya Covid-19 ini. Ada faktor pencetus dan penghubung, kena ada jati diri dalam diri seseorang, kalau jati diri dia baik maka apa yang disampaikan oleh orang akan sampai kepada diri dia,” katanya.

Suzanna turut mencadangkan supaya diadakan hebahan dengan menunjukkan keadaan mereka yang menjalani rawatan di Pusat Rawatan Rapi (ICU) ataupun kesedihan yang diratapi mereka yang kematian ahli keluarga akibat wabak tersebut.

Manakala pesalah yang ditangkap akibat melanggar arahan juga dicadangkan supaya dibawa ke pusat kuarantin agar mereka melihat sendiri petugas berat yang terpaksa ditanggung oleh barisan hadapan bagi menimbulkan rasa terhukum pada diri mereka itu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.