Jumaat, 24 April 2020

Ebit Lew dipanggil Bukit Aman, henti beri bantuan secara langsung


PENDAKWAH yang kerap menolong golongan fakir dan miskin, Ebit Lew hari ini dipanggil oleh Cawangan Khas Bukit Aman bagi memberi penjelasan berkaitan kes tular beliau membantu keluarga daif di Alor Setar.

Ebit berkata, beliau dihubungi Cawangan Khas Bukit Aman sejak malam tadi kerana terdapat aduan mengenai bantuan yang disalurkan kepada keluarga tersebut.

“Menangis dari tadi. Cuma nak menangis pada Allah. Entahlah. Tersandar rasa. Rasa penat sangat. Walau ada kebenaran untuk memberi bantuan. Dari tengah malam semalam saya dihubungi untuk ke Cawangan Khas Bukit Aman.

“Terus ke sana hari ini untuk mendapatkan dan memberi penjelasan terutama kes viral beberapa hari lalu kerana ada aduan. Mereka semua baik-baik melayan saya dengan sangat baik. Terima kaseh sangat,” kata Ebit.

Jelas Ebit, atas nasihat yang diberikan beliau akan berhenti menghulur bantuan secara langsung kepada golongan yang memerlukan.

Sebaliknya, beliau akan memberikan bantuan dari segi wang tunai kepada mereka yang memerlukan melalui pemindahan wang melalui bank.

“Jangan tag saya lagi kes orang susah. Nanti habis PKP baru saya cuba bantu. PKP ini saya dapat kenal siapa kawan dan siapa saja nak berlawan dengan saya.

“Tapi saya takkan pernah bermusuh atau berdendam dengan sesiapa. Saya maafkan semua. Saya maafkan kerana Allah. Saya mengadu pada Dia semua sedih dan susah saya.

“Saya cuma akan menangis jika ada orang susah. Saya akan doakan mereka. Jika ini harga perlu dibayar setelah semua ini saya reda. Saya minta maaf pada semua yer. Saya salah. Kepada Allah saya berserah,” rintih Ebit.



Beberapa hari lalu tular di media sosial Ebit membantu keluarga Ishak Darus atau Pak Ak yang mengalami strok.

Pak Aq tingal bersama-sama isteri dan lapan daripada 10 orang anak serta 10 orang cucu di dalam rumah yang usang dan kotor.

[BACA ARTIKEL] Ahli keluarga daif dibantu Ebit Lew kembali semula ke rumah lama?

Tindakan Ebit tidak disenangi oleh beberapa pihak yang mendakwa keluarga tersebut sudah beberapa kali ditolong dan mendapat bantuan zakat.

“Cuma sayalah terasa sedih sangat. Andai saya menyusahkan sesiapa saya minta maaf. Saya memang tak boleh tengok orang tidur atas najis atau tepi jalan.

“Semenjak pkp ini saya asyik fikir jika ini penghujungnya hayat saya. Saya nak beri sehabis baik.
Beratus orang dah saya bayar penginapan dan tempat tinggal. Cuma beberapa kes tu saya kongsikan dengan kawan di media fb saya. Saya pun tak niat nak viral apa ke,” luah Ebit.

[BACA ARTIKEL] Lahirkan ramai lagi Ebit Lew, bukannya `ustaz selebriti’

Menurut Ebit, bantuan yang diberikan kepada orang susah berkat perniagaan yang diusahakannya.

Wang yang digunakan untuk membantu golongan susah hasil daripada pendapatan perniagaannya.

Ebit berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung beliau telah mengeluarkan berjuta ringgit untuk menolong golongan yang memerlukan akibat pelaksanaan PKP.

[BACA ARTIKEL] Hadiah terakhir Ebit Lew buat keluarga Pak Aq

“Saya minta maaf. Saya memang jadikan media ini medan berkongsi rasa kasih sayang dengan semua. Tadi menangis saya beri keterangan kepada beberapa pegawai sebab penat agaknya.

“Sorry pada pegawai tadi. Serius penat sangat. Saya tak salahkan sesiapa. Saya bukan ahli politik. Saya bukan sesiapa. Cuma Cina Islam yang sayangkan Islam dan negara Malaysia,” kata Ebit.-SM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.