Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan sendiri mempunyai pendirian yang jelas bersimpati dengan nasib pelarian.
“Berhenti mencetuskan rasa khuatir dan bersikap negatif kepada pelarian yang ada di Malaysia, terutama dalam keadaan negara berdepan dengan wabak Covid-19.
“Pendirian kerajaan dan umumnya rakyat Malaysia selama ini sangat bersimpati kepada pelarian yang mahu mendapat perlindungan di negara ini. Pelbagai NGO turut menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian.
“Warga seperti dari Palestin dan Rohingya dari Myanmar adalah antara kaum yang paling lama menghadapi penindasan selama lebih 7 dekad,” katanya kepada FMT.
Katanya, walaupun ada pelarian bertindak melanggar peraturan di negara ini, ia tidak bermakna semua kalangan mereka bersikap demikian dan membebankan masyarakat tempatan
“Menggunakan media sosial untuk mencetuskan kebencian kepada golongan pelarian pada saat negara berdepan dengan wabak Covid-19 sangat tidak wajar.
“Saranan supaya semua pelarian dihantar pulang bukan cadangan yang boleh diterima dengan mudah. Masalah mereka tidak boleh difahami secara dangkal dan simplistik.
“Dari sudut pandangan Islam, tidak membela saudara seagama yang dizalimi, dihina dan dinafikan hak adalah melanggar ajaran agama.
“Tidak boleh diterima sama sekali pelarian diserahkan balik kepada pihak yang menzalimi mereka. Tindakan ini sama seperti menyerah nyawa mereka untuk dibunuh,” katanya.
Azmi berkata, kedatangan mereka untuk mencari perlindungan di Malaysia adalah kerana mereka tiada pilihan untuk menyelamatkan nyawa dari terus dizalami.
“Mereka adalah golong muhajirin yang tidak ada pilihan. Tumpuan harus diberi bagaimana kehadiran mereka dapat dimanfaatkan dan hak kemanusiaan mereka dipenuhi.
“Kepentingan diri semata-mata atas penderitaan saudara seagama akan mengundang mala petaka lebih besar. Ini adalah ujian ke atas mereka. Kita tidak tahu bila giliran kita pula melalui nasib seperti mereka,” katanya sambil mendesak pihak keselamatan memantau netizen yang menyebarkan ketegangan berhubung isu pelarian.
Pelbagai reaksi positif dan negatif terhadap pelarian Rohingya timbul sejak PKP dilaksanakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19, termasuk mendesak kumpulan itu yang kini berada di Malaysia dihantar pulang.
Komen xenofobia yang menyasarkan komuniti itu semakin bertambah di media sosial berikutan rayuan oleh aktivis supaya bekalan makanan diberikan kepada puluhan ribu etnik Rohingya yang tinggal di kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dan Pusat Bandar Utara yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sehingga 3 Mei ini.
Pihak berkuasa negara sebelum ini dilaporkan mematahkan percubaan 200 pendatang tanpa izin memasuki perairan negara di 70 batu nautika dari barat pulau Langkawi kerana bimbang kumpulan itu akan membawa kluster baru Covid-19 ke negara ini.
Pendirian kerajaan itu disokong banyak pihak, termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak yang berkata, sokongan dalam membela nasib komuniti Rohingya oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya sebelum ini tidak bermakna sempadan negara dibuka kepada mereka.
Najib berkata, pentadbirannya telah menjelaskan bahawa bantuan Malaysia kepada Rohingya dibuat berdasarkan nilai kemanusiaan dan bukan isyarat bahawa sempadan negara dibuka kepada semua.
Beliau juga mengkritik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kerana gagal bertindak berhubung isu Rohingya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.