Khamis, 23 April 2020

Bekas guru kini gelandangan

Sukarelawan Miana Maju mengagihkan makanan kepada gelandangan di pusat gelandangan sementara di Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat
 

KUANTAN: Mengambil keputusan meninggalkan tugas sebagai guru untuk mengejar dunia perniagaan, berakhir apabila dia kini disisih keluarga dan terpaksa menjadi gelandangan di bandar ini.

Lelaki warga emas berasal dari Pontian, Johor itu antara 38 gelandangan di sekitar bandar ini yang diselamatkan pihak berkuasa, baru-baru ini.

Mereka kini diletakkan di Pusat Gelandangan Sementara di Kuantan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Mahu dikenali sebagai Ali, 74, beliau mengambil keputusan nekad meninggalkan tugas guru Metamatik dan Sains di beberapa sekolah menengah di Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang, hanya kerana mengejarkan pendapatan lebih lumayan dalam bidang pembinaan.

Beliau berkata, pada awalnya kehidupannya berjalan lancar hasil rezeki dalam dunia perniagaan sehingga berkahwin dan bahagia bersama empat anak lelaki.

Bagaimanapun, episod kecelaruan dalam hidupnya berlaku tanpa diduga apabila perniagaannya semakin merudum sehingga terpaksa ditutup.

"Pada usia yang semakin lanjut tanpa diduga saya disisih oleh keluarga, wang simpanan yang dimiliki sebelum ini semakin hari semakin berkurangan dan akhirnya semuanya habis.

"Tanpa sumber kewangan akhirnya saya terpaksa menjadi gelandangan di bandar ini selama lima tahun dengan makan minum bergantung kepada sumbangan insan prihatin setiap hari," katanya yang kini berada di Pusat Gelandangan Sementara, di sini.

Ali berkata, dia tidak pernah menduga terpaksa mengharungi kehidupan pahit dan penuh daif.

Lebih memedihkan apabila empat anak yang diharap dapat membela nasibnya kini tiada khabar berita.

"Saya reda dengan apa yang dialami hari ini, ketentuan Yang Maha Esa pasti ada hikmahnya," katanya yang tidak pernah menduga terpaksa mengharungi kehidupan sebagai seorang gelandangan pada penghujung usia.

Bagi Sulaiman, 55, (bukan nama sebenar) yang juga berkongsi kisah kehidupan, sebelum ini pernah bekerja sebagai pengayuh beca di bandar ini selama 30 tahun.

Namun, khidmat sebagai penarik beca diambil alih oleh pengangkutan lebih maju sejak beberapa tahun lalu sehingga hilang sumber mata pencarian.

"Dengan kecacatan tangan tangan kanan yang saya dialami sejak kecil, saya kini hanya mampu mencari rezeki dengan bekerja sebagai penjaga tandas di bandar ini dengan pendapatan tidak seberapa.

“Tanpa tempat tinggal, setiap malam saya terpaksa tidur di kaki lima tandas.

"Ketika operasi dilakukan pihak berkuasa bagi menyelamatkan gelandangan daripada wabak COVID-19, baru-baru ini saya ditangkap dan kini ditempatkan di pusat gelandangan sementara yang disediakan dengan pelbagai kemudahan," katanya yang tidak pernah berumahtangga.

Dia yang berasal dari Endau, Johor berkata, kebajikan yang disediakan di pusat gelandangan sementara ini begitu memuaskan, selain disediakan tempat tinggal yang selesa dan diberi makan empat kali sehari.

Mereka juga dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan setiap hari oleh petugas sukarelawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.