Rabu, 29 April 2020

Baru dua bulan beroperasi, mampu raih RM30,000 sehari - sindiket judi online diberkas

Baru dua bulan beroperasi, mampu raih RM30,000 sehari - sindiket judi online diberkas
Sindiket judi dalam talian itu baru dua bulan beroperasi tetapi mampu meraih pendapatan RM30,000 sehari. - Foto Astro AWANI
 
SELAYANG: Biarpun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sindiket perjudian tetap melebarkan sayap operasinya.

Namun, dalam kesibukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas mengawal PKP, mereka tetap berjaya menghidu sindiket berkenaan.

Polis Gombak pada Selasa malam membuat serbuan di tingkat 17, 20 dan 24 sebuah kondominium di Selayang dan memberkas 16 pengendali sindiket berusia 18 hingga 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, sindiket judi dalam talian itu baru dua bulan beroperasi tetapi sudah mampu meraih pendapatan RM30,000 sehari.

“Modus operandi yang digunakan oleh sindiket perjudian ini adalah mereka menghebahkan mesej-mesej ke semua telefon bimbit secara rawak di kawasan berhampiran, mengajak melayari laman web tertentu yang menawarkan permainan judi secara online.

“Ia tidak melibatkan wang ringgit seperti judi online tradisional, tetapi semua transaksi dibuat melalui perbankan dalam talian,” katanya malam tadi.

Turut dirampas, berpuluh telefon bimbit, komputer riba dan beberapa bukti lain.

Kesemua pengendali dipercayai diberikan penginapan di tingkat 17, manakala tingkat 20 dan 24 dijadikan tempat menjalankan kegiatan perjudian.

Kesemua mereka dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak dan disiasat mengikut Seksyen 416 Akta Rumah Judi Terbuka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.