Rabu, 22 April 2020

Anak bekas menteri langgar PKP, cabar netizen lapor polis

Muhammad Azizul Osman

IMG-20200420-WA0038-e1587391317509


KUALA LUMPUR – Selepas dua timbalan menteri dikatakan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini tular pula gambar seorang anak bekas menteri yang melakukan perkara yang sama.

Beberapa keping gambar yang dimuatnaik ke Instagram individu berkenaan menunjukkan dia telah melanggar arahan PKP agar duduk di rumah.

“Selepas selesai dengan YB Menteri *****, kami ke Kementerian ***** berjumpa dengan Timbalan Menteri.

“Bertukar-tukar pendapat dan cadangan adalah cara saya dan ****… A dear friend to our family,” tulis beliau di Instagram.

Turut bersama-sama dalam gambar itu adalah suaminya.

Individu yang berstatus isteri kedua itu sempat bertemu dengan seorang menteri pada hari yang sama.

Status turut mendapat perhatian netizen yang tidak setuju dengan tindakan wanita berkenaan. Salah seorang daripadanya, ritzeleen_zeti berkata; ‘Semua ini boleh buat melalui video call.’

IMG-20200420-WA0039

Lantas anak VIP berkenaan mencabar netizen berkenaan untuk membuat laporan polis sekiranya beliau didapati melanggar arahan PKP.

Report (laporlah) lah polis tak payah komen sini. Saya sedia bagi kerjasama untuk ambil keterangan dari saya. Saya cabar,” komen balas beliau di Instagram.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abdul Rahman Mohamad turut dilihat melanggar arahan PKP dengan mengadakan himpunan menikmati jamuan makan tengah hari.

Pada Jumaat lalu, tular gambar Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar mengunjungi bekas menteri besar Ahmad Said di kediamannnya di Teluk Kalong, Kemaman.

Samsuri berkunjung ke rumah Ahmad yang juga pengerusi UMNO Terengganu bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung agihan peruntukan yang tidak sama rata diterima Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.

Kesemua gambar yang tular itu menimbulkan kemarahan dan mengundang kritikan ramai kerana diadakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa dan ramai orang awak sudah didenda atau dihukum kerana mengingkarinya.

Untuk rekod, seseorang boleh didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dalam kawasan jangkitan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.