Ahad, 19 April 2020

36 pelancong asing di Pulau Kapas menjalani saringan kesihatan

Seramai 36 pelancong asing termasuk empat kanak-kanak dari Jerman, Sepanyol, Itali, Belgium, Sweden dan Denmark menjalani ujian saringan kesihatan untuk mencegah penularan wabak Covid 19 di Pulau Kapas. -Foto NSTP/Ghazali Kori
MARANG: Seramai 36 pelancong asing termasuk empat kanak-kanak dari Jerman, Sepanyol, Itali, Belgium, Sweden dan Demark yang berada di Pulau Kapas menjalani saringan kesihatan, semalam.

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, berkata
keseluruhan pelancong asing yang berada di semua pulau di Terengganu seramai 71 orang dan 36 daripadanya berada di Pulau Kapas.

“Mereka berada di pulau sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Apabila PKP bermula pada 18 Mac lalu, sebahagian besar pelancong asing yang sepatutnya pulang pada hari berikutanya tidak dapat pulang ke negara asal kerana pelbagai alasan dan sekatan.

“Tidak kurang juga pelancong yang mengambil keputusan untuk terus menetap di pulau sehingga PKP berakhir kerana berasa lebih selamat berbanding pulang ke negara masing-masing,” katanya ketika ditemui ketika membuat lawatan ke Pulau Kapas, semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris.

Ariffin berkata, saringan kesihatan dijalankan secara berkala ke atas semua pelancong asing sepanjang PKP untuk memastikan mereka bebas daripada segala penyakit termasuk COVID-19.

“Kami tidak menghalang mereka untuk pulang ke negara asal sekiranya mereka boleh berbuat demikian.

“Bagaimanapun, untuk pulang mereka perlu berhubung dengan kedutaan negara masing-masing dan menguruskan tiket penerbangan pulang.

“Kerajaan negeri akan membantu daripada segi pengangkutan ke pejabat kedutaan negara mereka di Kuala Lumpur atau terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Tambahnya, sehingga kini enam pelancong dari Jerman akan ke pulang ke Jerman dalam tempoh terdekat dan ia diuruskan kerajaan negeri bersama Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur.

“Empat daripadanya akan bertolak pulang pada Selasa ini dan kos pengangkutan ke KLIA itu ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, segala kos penginapan dan makan minum selama berada di pulau ditanggung pelancong sendiri selain perbincangan bersama dengan tempat penginapan masing-masing.

“Sebahagiannya ada yang terpaksa tinggal di rumah penginapan biasa yang lebih murah dan sebahagiannya kekal di hotel mewah bergantung kepada kemampuan masing-masing.

“Sehingga kini semua pelancong asing yang berada di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol bebas daripada COVID-19 dan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.