Ahad, 22 Mac 2020

Menjual Ilusi Kehebatan Mantan Menteri Kesihatan

Ab Jalil Backer
MGF28012020_MESYUARAT-KHAS-KORONAVIRUS_27-1
Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang akhbar bersama bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi yang ketika itu bercakap tentang tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap kemasukan pelancong yang sihat ke negara ini.
 

LIM Kit Siang sepatutnya telah memenuhi janjinya untuk bersara dari politik jika Dr Mahathir tidak menyerah jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim. Satu dunia sudah tahu Mahathir meletak jawatan tanpa membuat peralihan kepimpinan kepada Anwar seperti yang dijanjikan.

Malangnya Kit Siang seperti Mahathir tidak mungkin melaksanakan janjinya. Kini supremo DAP ini tampil pula menyarankan Kerajaan meminjam sementara mantan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bagi membantu usaha mencegah Covid-19.

Saranan ini sebenarnya usaha terdesak Pakatan Harapan untuk menunjukkan mereka lebih cekap dalam mengurus negara.

Saya fikir hanya orang malas membaca akan percaya kerajaan lalu telah menjalankan tugas dengan cekap mengawal wabak Covid-19.

Berleluasanya wabak Covid-19 berpunca daripada kegagalan kerajaan lalu mendengar nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan saranan-saranan parti pembangkang ketika itu.

Pada hujung Januari 2020, pemimpin UMNO mencadangkan visa pelancong untuk warga China digantung buat sementara waktu. Namun Menteri Pelancongan ketika itu menyatakan kita tidak boleh menghalang kedatangan pelancong China yang sihat.

Dalam sidang akhbar tersebut kelihatan Dr Dzulkefly sendiri hadir dan tersengih-sengih gembira.

Malah kita tidak boleh melupakan kenyataan Dr Dzulkefly yang memandang remeh peringatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada awal Februari 2020,

Ketika itu, Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Bagi Rantau Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai telah menasihati Malaysia untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya penyebaran virus yang lebih luas.”

Apabila ditanya wartawan mengenai nasihat itu Dr Dzulkefly menyatakan dakwaan jangkitan COVID-19 akan berleluasa perlu dilihat dalam konteks sewajarnya kerana Malaysia belum lagi sampai ke peringkat itu.

Menteri Kesihatan itu juga menyifatkan Dr Takeshi mungkin menyebabkan berlakunya kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. (https://www.bharian.com.my/…/covid-19-di-malaysia-masih-ter…)

Sangat menyedihkan ketika seluruh dunia cemas dengan Covid-19, Menteri Kesihatan ketika itu memberi isyarat sambil lewa kepada rakyat dan kerajaan.

Malah sehingga penghujung Februari 2020 langsung tidak usaha mengetatkan pemeriksaan kemasukan pelancong asing dan menyenaraihitamkan negara-negara yang sedang mengalami pandemik ini.

Malah tiada saranan self-quarantine, mahu pun melarang rakyat negara ini ke negara-negara yang berisiko tinggi seperti China, Korea Selatan dan Eropah.

Kemuncaknya Ijtimak Tabligh 2020 berlangsung pada 27 Februari 2020 dihadiri oleh berbelas ribu orang, termasuk hampir seribu peserta dari luar negara.

Program ini bukan dirancang sehari dua, namun tidak ada sepatah larangan mahu pun teguran dari Menteri Kesihatan ketika itu sehinggalah Dr Mahathir meletak jawatan pada 24 Februari 2020.

Menyalahkan krisis politik pada 22 Februari 2020 adalah sangat tidak masuk akal kerana amaran-amaran mengenai Covid-19 telah berlarutan hampir dua bulan dan kerajaan ketika itu mengambil sikap sambil lewa.

Jadi maaflah, cadangan untuk menerima Dr Dzulkefly semula adalah satu yang tidak munasabah,
 kerana semua bermula dari kegagalan beliau menasihati kerajaan sebelum ini untuk mengambil langkah pro-aktif menyekat penularan wabak ini.

Cukuplah menjual mimpi dan ilusi kehebatan Menteri Kesihatan yang menutup sebahagian besar Klinik 1Malaysia hanya atas sebab politik partisan.

— Tulisan ini adalah pandangan penulis yang disiarkan di laman Facebook dan dikongsi di portal MalaysiaGazette dengan izin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.