UMNO ONLINE
PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu pakej rangsangan ekonomi
prihatin rakyat yang lebih menyeluruh dan akan memberikan manfaat
kepada semua lapisan masyarakat dalam menghadapi cabaran wabak COVID-19,
akan diumum Jumaat ini.
Perdana Menteri berkata pegawai di Kementerian Kewangan pada masa ini
sedang bekerja bertungkus lumus dalam menyediakan pakej berkenaan.
“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran,
penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja
harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua
beroleh manfaat.
“Insya-Allah, no one will be left behind (tiada yang akan
dipinggirkan),” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri yang
disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan media sosial hari ini.
Muhyiddin berkata sebagai Perdana Menteri beliau sedar bahawa beliau
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat secara
keseluruhan.
“Ini amanah yang saya pikul. Sebagai manusia saya tidak sempurna,
tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik. Insya-Allah, dengan
izin Allah SWT, kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar
ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan petugas di barisan hadapan untuk terus cekal,
meyifatkan situasi yang dihadapi mereka sekarang ini sebagai sesuatu
yang bukannya mudah.
Menyentuh soal kebajikan petugas Kementerian Kesihatan, Perdana
Menteri berkata beliau telah mengarahkan kementerian itu memberikan
sedikit masa untuk mereka mengambil cuti rehat secara berperingkat,
sebelum kembali bertugas semula.
Bagi mengisi tugas mereka buat sementara waktu ini, katanya, tenaga
sukarela dalam kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan
sukarela akan digerakkan.
“Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini.
“Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di
lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara,”
katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.