Ahad, 23 Februari 2020

Sumber: Zahid ke Istana Negara selepas mesyurarat khas MT Umno

Dilaporkan lebih 20 kenderaan VVIP dilihat memasuki Istana 
Negara sejak petang tadi.
 
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan ke Istana Negara bagi menghadap Yang di Pertuan Agong, selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno yang diadakan petang ini, kata sumber.

Sumber yang ditemui FMT bagaimanapun enggan mengulas lanjut tujuan Zahid ke Istana Negara, susulan jangkaan akan berlakunya rombakan Kabinet sewaktu cakap-cakap mengenai penjajaran baru politik tersebar.

“Presiden terus ke istana lepas habis mesyuarat tadi,” katanya ringkas sewaktu ditemui di Ibu pejabat Umno, hari ini.

Seorang ahli MT Umno yang enggan dikenali turut meminta pemberita yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra untuk hadir ke Hotel Sheraton Petaling Jaya malam ini bagi mendapatkan perkembangan lanjut.

Terdahulu, setiausaha agung Umno Annuar Musa ketika ditemui pemberita, memberitahu arahan untuk ahli MT Umno hadir ke ibu pejabat dibuat selepas menerima makluman daripada presiden Ahmad Zahid Hamidi pada pagi tadi.

Annuar memaklumkan, PAS juga akan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari ini, selepas mengadakan pertemuan kedua-dua parti sejak semalam di Janda Baik, Pahang.

Awal hari ini, timbalan presiden PKR Azmin Ali dan kira-kira 9 pemimpin dan ahli Parlimen PKR yang menyokong beliau berada di hotel Sheraton Petaling Jaya.

Pada masa sama pemimpin tertinggi PPBM pula bermesyuarat di ibu pejabat parti itu di Yayasan Selangor tidak jauh dari situ.

Difahamkan pemimpin PPBM, termasuk Mahathir akan menyertai Azmin dan pemimpin lain di Sheraton untuk membuat satu “pengumuman penting”.

Pengumuman itu hampir pasti akan menyebabkan DAP hilang kuasa kerajaan pusat, sementara parti berteraskan orang Melayu memainkan peranan dominan di bawah gabungan baru politik yang lahir.

Ketegangan semakin memuncak dalam Pakatan Harapan (PH) ketika PKR, DAP, dan Amanah terus menekan Mahathir supaya menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Perkembangan hari ini berlaku kurang 48 jam selepas sidang media pada tengah malam Jumaat, yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan bahawa beliau masih berkuasa dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi dia mahu.

Bulan lepas, FMT melaporkan pertemuan peribadi antara Mahathir dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang mungkin memberi petanda tentang penyusunan semula kuasa politik di Putrajaya, langkah yang mungkin mengetepikan DAP, dan khususnya, menggagalkan cita-cita Anwar menjadi perdana menteri.

Penyusunan baru itu akan menyatukan kumpulan politik yang menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di negeri Melayu di semenanjung.

Awal bulan ini, ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam bercakap tentang kemungkinan suatu pakatan baru, iaitu “Pakatan Nasional” yang sedang terbentuk.

PH dibentuk pada 2015 oleh PKR, DAP dan Amanah berikutan perpecahan Pakatan Rakyat, yang sebelum ini menggabungkan parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP.

Pada 2016, pakatan itu memperoleh rakan ke-4, PPBM, yang dibentuk oleh Mahathir selepas berpisah dengan Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.