Jumaat, 21 Februari 2020

Semak tindakan disiplin terhadap Afif, kata akar umbi PKR

SUSAN LOONE



Selepas Dr Afif Bahardin diberikan surat tunjuk sebab kerana didakwa "mensabotaj" PKR, sokongan terhadapnya datang dari akar umbi parti

Naib Ketua Cabang Permatang Pauh, Amir Ghazali, berkata sesetangah anggota merasakakan perlu menunjukkan semangat setiakawan bersama Afif ketika beliau sedang menghadapi begitu banyak kesukaran.

"Kami sebahagian pimpinan PKR terpanggil untuk memberi solidariti kepada saudara Dr Afif Bahardin di saat sesukar mana pun keberadaan beliau pada waktu ini.

"Sumbangan masa dan tenaga beliau kepada kejayaan PKR Pulau Pinang dan Cabang PKR Permatang Pauh tidak boleh di sangkal dan padamkan oleh selembar surat tunjuk sebab/ disiplin," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Amir juga menggesa supaya Lembaga Disiplin PKR menyemak semula keputusan yang dibuat terhadap Afif yang melibatkan tuduhan "aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan dan pergolakan pada Kongres Nasional AMK 2019."

Katanya, lembaga disiplin parti perlu menyesuaikan pendekatannya dengan kaedah yang lebih mesra, membenarkan perbincangan dan nasihat.

"Lembaga Disiplin juga harus memperhalusi, memahami sifat dan jiwa anak muda yang amat bertenaga, agresif dan aktif, mudah terperangkap dalam kelompok dan kabilah ia sesuatu yang normal bagi sesebuah organisasi yang dinamik.

"Kami mengharapkan satu semakan semula di lakukan oleh Lembaga Disiplin PKR terhadap dakwaan melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan dan pergolakan pada Kongres AMK 2019 terhadap Dr Afif Bahardin kepada satu pendekatan yang mesra menyediakan ruang perbincangan dan nasihat," jelasnya.

Beri peluang adil

Semalam, Dr Afif yang juga bekas timbalan ketua AMK, menzahirkan rasa terkilannya selepas menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin, mendakwanya melakukan kesalahan ketika kongress tahun lepas yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada 6 Dis tahun lepas.

Afif dituduh melakukan kekacauan itu dengan tujuan untuk membatalkan kongres tersebut.

Afif dilihat menyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali secara terbuka.

Azmin dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dilaporkan bertelagah berhubung isu peralihan kuasa jawatan perdana menteri kelapan.

Sementara itu, Cabang PKR Taman Sri Indah, Balik Pulau, John Ooh Sin Hwa berkata anggota parti "sangat terkejut" dengan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan secara tiba-tiba kepada Afif.

"Beliau (Afif) seorang yang setia dengan parti dan seorang pemimpin muda yang ada keupayaan.
"Kami sangat terperanjat dengan tuduhan terbaru ini bahawa beliau didakwa terlibat dengan sebaran bentuk sabotaj pada kongres yang dikatakan itu.

"Kami harap Afif akan diberikan peluang yang adil untuk membuktikan beliau tidak bersalah dan keadilan akan tertegak buatnya," kata Ooh kepada Malaysiakini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.