Tommy cabul sistem perundangan kerana tunduk kepada agenda politik
BANGI
– Hampir 40,000 orang telah menurunkan tandatangan menyokong petisyen
dalam talian bagi mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas
meletakkan jawatan.
Setakat
jam 11 pagi, petisyen yang dilancarkan semula oleh Presiden Ikatan
Muslimin Malaysia (ISMA) yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan
Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya, berjaya mengumpulkan
39,905 tandatangan.
Dalam
petisyen itu, Haji Aminuddin menegaskan, desakan peletakan jawatan itu
dibuat susulan pelbagai onar dilakukan yang telah mencabul sistem
perundangan negara melalui pelbagai siri peristiwa, yang disifatkan
tunduk kepada agenda politik pihak tertentu.
“Sebenarnya,
banyak isu-isu dan kontroversi-kontroversi yang melibatkan Tommy Thomas
sepanjang menjadi peguam negara, termasuk pengguguran prosiding kes
rasuah banglo Lim Guan Eng, isu pengiktirafan UEC dalam sijil
perundangan dan sebagainya.
“Walau
bagaimanapun, setakat ini ada dua ‘onar’ terbesar yang telah dilakukan
oleh Tommy Thomas yang saya kira telah merobek-robek sistem perundangan
negara,” katanya dalam petisyen itu.
Menurut
Haji Aminuddin, ia antaranya membabitkan sikap lengah serta campur
tangan peguam negara dalam kes pembunuhan anggota bomba, Allahyarham
Muhammad Adib Mohd Kassim, serta pengguguran prosiding kes suspek
pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) secara serta-merta.
Sebelum
ini, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding
undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan
menyokong kumpulan pengganas LTTE.
Tommy
menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas
untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan
yang sedang dihadapi mereka.
Bahkan
katanya, keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan
yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes
berkenaan mengikut undang-undang.
Bagaimanapun,
Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa peguam negara tidak
mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan
yang berada di bidang kuasa menteri dalam negeri.
Beliau
berkata, KDN mempunyai asas yang kukuh mengekalkan penyenaraian LTTE
sebagai kumpulan pengganas berdasarkan maklumat terkini daripada pihak
berkuasa.
Kenyataan
tersebut susulan gesaan Tommy upaya Muhyiddin selaku menteri dalam
negeri mengkaji semula kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas.
Untuk
rekod, selain Malaysia, beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan
dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara
masing-masing, antaranya, India, Kanada, Amerika Syarikat dan United
Kingdom.
Orang ramai yang mahu memberikan sokongan terhadap petisyen tersebut boleh menandatanganinya di pautan www.change.org.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.