Ketika pelbagai spekulasi dan kemungkinan berlaku perubahan
kepimpinan di peringkat kerajaan persekutuan serta pensejajaran baru
parti politik, Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad menitipkan
doa khusus buat Malaysia.
"Bismillahirahmanirrahim. Doaku semoga Allah SWT kurniakan Malaysia sentiasa dalam aman, begitu juga dengan para pemimpin diberi taufiq, hidayah dan sabar.
"Ya Allah berikan kepada kami rasa cintakan negara, kukuhkanlah perpaduan kami."
"Ya Allah, kepada-Mu kami berserah dan berharap," katanya.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan beberapa kem politik yang dijangka bermesyuarat hari ini mencetuskan spekulasi berlakunya pensejajaran semula kekuasaan negara.
Para anggota parlimen yang setia kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali disahkan sedang berkumpul di Sheraton Hotel Petaling Jaya.
Turut disahkan Majlis Tertinggi Bersatu sedang bermesyuarat di ibu pejabatnya, yang tidak jauh dari hotel itu.
Para pemimpin dan MP Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka bertemu petang ini di Ritz Carlton, Kuala Lumpur.
Majlis Tertinggi Umno juga dipercayai mengadakan pertemuan di ibu pejabat parti itu, hari ini.
Presiden Bersatu pula, Muhyiddin Yassin dan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula enggan mengulas mengenai mesyuarat tersebut. Begitu juga dengan setiausaha agung Marzuki Yahya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.