LANGSUNG | Kemelut penjajaran semula kuasa politik negara memasuki hari kelima. Ia bermula dengan cubaan mengalih kuasa yang gagal pada Ahad lalu.
Semalam perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, membayangkan apa akan berlaku dalam tempoh sehari dua ini, iaitu membentuk kerajaan yang melangkaui sempadan parti.
LANGSUNG
10. 57 pagi: Dr Mahathir Mohamad memasuki Pintu 1 Istana Negara.
10.30 pagi: Kenderaan membawa Dr Mahathir bergerak meninggalkan pejabatnya untuk ke Istana Negara.
10.10 pagi: Menurut laporan, Dr Mahathir Mohamad akan mengadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi ini.
Hal itu disahkan kemudian oleh Pejabat Perdana Menteri kepada Malaysiakini.
10 pagi: Isteri perdana menteri interim, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, memasuki pekarangan Jabatan Perdana Menteri.
Kenderaan
membawa Siti Hasmah kemudian berhenti sejurus selepas melepas pintu
masuk sebelum kelihatan beliau mengedarkan bar coklat kepada wartawan
yang menunggu di situ.
Ditanya mengenai kesihatan dirinya, Siti Hasmah - seperti biasa - tersenyum sambil berkata: "Alhamdulillah, sihat,"katanya.
"Jaga diri ya," katanya tersenyum.
9 pagi:
Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata PH berpendapat cadangan
Dr Mahathir untuk menubuhkan kerajaan melangkaui batas parti tidak dapat
diterima kerana kerajaan sebegitu tidak terikat dengan sebarang
manifesto PRU14.
Menciap di Twitter pagi ini, Ong bagaimanapun berkata PH berterima kasih kepada Mahathir kerana ketegasannya menolak kerjasama dengan Umno dan PAS atas dasar prinsip.
Dengan alasan sama juga, katanya, PH meminta Mahathir membentuk kerajaan baru bersama PH.
Melalui cadangan yang dibawa Mahathir, kata Ong, beliau boleh melantik sesiapa saja termasuk Azmin Ali yang menyebabkan PH tumbang daripada kerajaan baru-baru ini.
"Ini tidak boleh diterima PH dan kebanyakan pengundi," katanya.
Menurut Ong lagi, kegagalan Mahathir menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH juga membuatkan gabungan itu tidak ada pilihan lain kecuali menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri demi menunjukkan komitmen mereka terus melaksanakan manifesto.
8.55 pagi: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyambut baik tindakan PH yang tegas dan jelas menamakan calon perdana menteri mereka, dan pada masa yang sama memberikan komitmen untuk meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat pada Mei 2018.
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata masalah sebenar PH bukanlah pada dasar perjuangan mahupun manifesto sebaliknya tindakan mereka membelakangkan janji tersebut serta terlalu lemah dalam pelaksanaannya.
"PH juga terlalu kerap bergaduh dalam isu persoalan peralihan kuasa dan tidak mempunyai kata sepakat dalam isu-isu yang melibatkan isu perkauman," katanya.
"Dalam keadaan ini, langkah terbaik untuk beliau ialah berundur dan melepaskan masa depan politik negara kita kepada parti-parti lain.
"Tindakan Mahathir melepaskan kuasa dan membuat satu peralihan secara aman, akan dilihat sebagai tindakan bijak seorang negarawan kanan, sebaliknya jika kemelut ini terus dimain-mainkan berdasarkan sentimen perkauman, atau sentimen kroni dan sebagainya, maka beliau akan dituduh sebagai pihak yang mencetuskan harapan dan pada masa sama menghancurkan harapan tersebut," kata Arutchelvan.
8.15 pagi: Umno mengarahkan semua ketua bahagiannya dari seluruh negara berkumpul di ibu pejabat parti itu hari ini.
Setiausaha
Agung Umno, Annuar Musa, berkata mereka dipanggil untuk menghadiri
pertemuan khas bersama presiden parti serta anggota majlis tertinggi
pada jam 3 petang.
Dalam siri ciapannya di Twitter,
Annuar juga mengulangi pandangan bekas peguam negara, Mohamed Apandi
Ali, mengenai keabsahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri
interim.
"Dalam keadaan sekarang option (pilihan)
hanya satu!!! Kembalikan kuasa kepada rakyat, bubar parlimen dan dalam
masa 60 hari adakan pilihan raya umum," katanya.
Untuk
rekod, selepas menjadi peguam negara, Apandi dilantik menjadi pengerusi
Lembaga Disiplin Umno sebelum beliau meletak jawatan baru-baru ini.
7.30 pagi: Bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, meminta maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kemelut yang sedang melanda sekarang.
"Ini bukan 'politik rakyat' yang mencetuskan reformasi satu ketika dahulu. Tapi kali ini - dalam simpang-siur yang memeningkan - silap-silap hari bulan, mereka bosan, mual dan jelak," katanya.
Justeru, ahli parlimen Kuala Selangor itu berharap rakyat tidak terus dibebani dengan gelagat buruk serta kerakusan ahli politik, termasuk perbuatan mengkhianati perjuangan dan rakan.
"Apa yang dipaparkan itu mengganggu kesejahteraan bahkan menambahkan penyeksanaan hidup rakyat," katanya.
Beliau juga menyarankan semua pihak agar tidak menghangatkan lagi suasana dengan memainkan sentimen perkauman dan agama.
7 pagi: Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali mempersoalkan keabsahan jawatan perdana menteri sementara.
"Perdana menteri interim tiada dalam perlembagaan.
"Dalam keadaan sekarang, mengikut konvensyen, Agong boleh membubarkan Dewan (Rakyat) atas budi bicara tuanku, jika pada hemat tuanku tiada ahli parlimen yang memperoleh kepercayaan ahli dewan untuk dilantik sebagai perdana menteri," katanya.
Ketika PH - yang dijatuhkan
sebahagian pemimpin dalam PKR dan Bersatu - mahukan Anwar Ibrahim
menjadi perdana menteri, BN dan PAS pula mahu agar parlimen dibubarkan
untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum ke-15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.