Jumaat, 21 Februari 2020

KDN digesa segera lucut kewarganegaraan Tiong Choon

Manzaidi Mohd Amin

dr-ting
Dr Ting Tiong Choon

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan prosiding melucutkan kewarganegaraan Dr. Ting Tiong Choon.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dari DAP Sarawak itu mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Kata beliau, Tiong Choon yang menuntut di University of New Wales didapati pada 20 Januari 2010 ketika berstatus sebagai rakyat Malaysia telah memperoleh kewarganegaraan Australia dan berdaftar sebagai pengundi di negara itu.

“Namun, pada 4 April 2016, Tiong Choon telah melepaskan kewarganegaraan Australia kerana mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Fakta ini menunjukkan bekas ADUN Pujut ini memiliki dua kerakyatan termasuk Australia bermula 20 Januari 2010 sehingga 3 April 2016,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Katanya, Putra telah menghantar surat permohonan disegerakan prosiding melucutkan kewarganegaraan Tiong Choon kepada Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau merujuk Perkara 24(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa, “jika kerajaan Persekutuan berpuas hati seseorang warganegara telah memperolehi kewarganegaraan mana-mana negeri luar Persekutuan dengan cara pendaftaran, masukkan atau perbuatan lain yang sengaja boleh dengan perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu”.

Selanjutnya Dr. Ibrahim merujukkan kepada Muhyiddin Perkara 24 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, “jika kerajaan Persekutuan berpuas hati mana-mana warganegara telah menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan, apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negeri itu, iaitu hak-hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara itu, maka kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu”.

Kata beliau, diakui di Mahkamah Persekutuan, selain memiliki dua kerwaganegaraan, Tiong Choon juga telah melaksanakan tanggungjawab kewarganegaraan Australia dengan mendaftar sebagai pengundi di daerah Port Macquarie-Hastings.

“Pemimpin DAP Sarawak ini juga telah melafazkan ikrar setia kepada Australia dan undang-undangnya sebagai prasyarat pemerolehan kewarganegaraan negara itu pada 20 Januari 2010.

“Ini menunjukkan kedua-dua sebab untuk prasyarat pelucutan kewarganegaraan seperti digariskan melalui Perkara 24 (1) dan (2) telah terbukti di Mahkamah Persekutuan ke atas Tiong Choon,” katanya.

Oleh itu, berdasarkan semua fakta yang disahkan di Mahkamah Persekutuan, tidak ada sebab untuk Muhyiddin selaku Menteri KDN melengahkan prosiding perlucutan kewarganegaraan Malaysia terhadap Tiong Choon mengikut Perkara 27 Perlembagaan Persekutuan.

Prosiding itu katanya, bagi menjunjung konsep Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia, dan kegagalan untuk memulakan prosiding itu akan menghampakan prinsip peraturan perundangan.

Pada 11 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya membuat keputusan Tiong Choon hilang kelayakan sebagai ADUN Pujut.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan pemimpin DAP itu kerana mempunyai dua kerakyatan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.