ULASAN | Keputusan sebulat suara Majlis Presiden PH untuk memberi mandat kepada Dr Mahathir Mohamad bagi menentukan sendiri tarikh untuk melepaskan jawatan perdana menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November ini, ada kesan positif dan kebijaksanaannya.
Secara peribadi, sebagai anggota parlimen PKR yang setia kepada presidennya, saya pada mulanya agak terkilan dengan keputusan itu.
Saya tiada masalah sangat dengan Dr Mahathir melepaskan jawatannya selepas Apec, tetapi jauh di hati saya masih berharap satu tarikh yang pasti. Selepas Apec itu bila? Apa tarikhnya? Bulan apa? Berapa hari bulan?
Persoalan ini tidak dijawab, kekaburan berterusan. Sebab itulah dalam hal undang-undang, apabila kita buat perjanjian soal tarikh mesti ditulis dengan terang, nyata dan tepat. Masa adalah inti pati (time is the essence) dalam apa juga perjanjian, termasuklah perjanjian politik.
Pertama, nampaknya PAS dan Umno terus kempunan untuk merosakkan keutuhan kerajaan campuran PH. Dua parti pembangkang itu sangat ingin melihat parti dalam PH bergaduh dan bercakaran sehingga pecah. Kemudian mereka datang menangguk di air keruh dengan idea pembentukan kerajaan pintu belakang.
Mimpi di siang hari PAS dan Umno tak kesampaian dan mereka kini terpaksa menggigit jari. Undi percaya atau undi tak percaya yang kononnya hendak dibawa PAS di sidang Parlimen pada Mac ini dan disokong oleh UMNO sudah tidak relevan lagi. Isu itu sudah antiklimaks sekarang.
Selain itu, tidak boleh dilupakan sikap kepimpinan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang tenang dan sabar dalam membantu merumuskan keputusan sebulat suara memberi mandat kepada Dr Mahathir untuk menentukan sendiri tarikh berundur. Sikapnya yang tidak menekan atau mendesak Dr Mahathir dan menunjukkan tingkat kesabaran yang tinggi mencerminkan pekerti seorang pemimpin politik yang berhemah tinggi.
Rakyat kini melihat tingkah laku Mahathir dan Anwar. Pujian dan penghargaan perlu diberi kepada Anwar kerana atas kesabarannya PH terus kukuh dan kerajaan campuran PH dapat diselamatkan.
Bayangkan jika dalam mesyuarat tersebut Anwar membawa sikap dan pendirian yang keras dan enggan bertolak ansur. PH boleh pecah malam tadi juga dan pagi ini kerajaan campuran PH berkubur.
Sekarang pandangan rakyat ke arah Dr Mahathir. Adakah beliau akan berundur selepas sidang Apec? 2023 juga "selepas Apec".
Mahathir tidak akan berdalih lagi kali ini. Jika beliau terus berdalih, bukan Anwar yang rugi tetapi beliau sendiri. Saya percaya dan terus berharap Dr Mahathir tidak mungkir janji.
Saya adalah salah seorang anggota Parlimen PKR yang patuh pada janji dan arahan parti yang setia berpegang dengan janji PH untuk menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri jika PH menang pada PRU ke-14.
Sebaik saja diisytihar sebagai anggota parlimen pasir Gudang, pada malam 9 Mei itu, saya ke Petaling Jaya untuk menandatangani surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, anggota parlimen Langkawi, untuk diangkat menjadi perdana menteri.
Sebagai anggota parlimen PH dari PKR, saya telah menunaikan janji saya dan janji parti saya.
Sekarang saya berhak menuntut janji dari Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas sidang Apec, sebelum berakhirnya 2020 ini.
HASSAN KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.