Selasa, 25 Februari 2020

Jom kita rampas kuasa!

S ARUTCHELVAN



ULASAN l Ketika rakyat menanti gelisah dengan kakitangan hospital bertungkus lumus berperang dengan Covid-19, wartawan pula berlari ke sana ke mari mencari berita, ada segelintir ahli politik merancang untuk mengulingkan kerajaan dengan cara putar-belit, fitnah dan manipulasi.

Mereka datang dengan kereta mewah, berbincang di hotel lima bintang, membicarakan soal bagaimana untuk berkuasa, bagaimana untuk mencuri sokongan anggota parlimen (MP) dan sebagainya.

Mereka mencetuskan krisis ekonomi, ketidaktentuan politik dan meningkatkan kegusaran dan kegelisahan rakyat yang baik dan ikhlas.

Mereka MP bukan seperti rakyat biasa. Esok, mereka tidak perlu pergi kerja kerana gaji mereka dan ganjaran mereka sebagai MP sudah memadai. Keselesaan mereka terjamin.

Rakyat merasa marah. Marah kepada politik dan ahli politik. Bagi mereka semua ahli politik adalah kaki tipu dan politik itu kotor dan tercemar. Bukan salah mereka jika itulah yang berlaku dalam politik dan itulah yang mereka dapat lihat.

Masalahnya politik tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita. Daripada hari kita dilahirkan sehingga hari kita meninggal dunia, politik menguasai kehidupan kita. Persoalan adalah sama ada kita sebagai rakyat hendak menguasai politik atau membiarkan politik di tangan segelintir kecil.

Daripada dulu, kami telah menyarankan bahawa rakyat perlu dipolitikkan dan memainkan peranan penting.

Rakyat harus menentang politik kotor dan politik pintu belakang. Rakyat kena menjadi kuasa perubahan dan bukan sekadar kuli wakil rakyat.

Ramai di antara kita menjunjung ahli politik kita di atas kepala khususnya mereka yang mempunyai gelaran YB, Tan Sri, Dato dan sebagainya.
Kita bodek mereka hanya untuk sekadar mendapat “sedikit sesuatu”. Inilah jiwa hamba yang ada di hati kita dan kita melahirkan kelas MP dan ahli politik yang angkuh dan berjiwa penjajah.
Dr Burhanuddin al-Helmy - tokoh besar politik negara - pernah berkata

“Di atas runtuhan kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka, bersatu padulah wahai seluruh baka, membela hak keadilan pusaka.”

Maka dibawah runtuhan langkah Sheraton, jom kita membina jiwa merdeka. Biar kita mula peduli tentang hak dan kepentingan rakyat terbanyak dan bukan segelintir yang mahu kita sentiasa berpecah dan bergaduh.

Biar kita cemburukan kuasa politik. Biar kita rampas kuasa politik dari ahli politik yang oportunis dan tamak.

Jom kita membina politik bawahan untuk melawan elit di atas. Inilah masa untuk merenung dan inilah masa untuk berubah. Politik bukan milik mereka sahaja.


*S ARUTCHELVAN ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.