Gabungan baru: Anwar jumpa pemimpin DAP dan Amanah, Azmin ikrar teruskan agenda reformasi
WARTAWAN MALAYSIAKINI
LANGSUNG | Malaysiakini
membawakan liputan langsung berkenaan perkembangan susulan pertemuan
kumpulan-kumpulan politik yang bermula pagi ini.
Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini
Sekian
liputan kami berhubung langkah-langkah politik melibatkan parti-parti
politik pada hari ini. Terus ikuti kami untuk perkembangan esok.
Jika
anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan
Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.
11.30 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Azmin akhirnya keluar selepas kira-kira sejam pertemuan dengan penyokongnya.
Ia di saat kebanyakan pemimpin dan anggota parlimen BN, Bersatu, PAS, GPS dan Warisan telah meninggalkan hotel itu.
Timbalan presiden PKR itu mengucapkan terima kasih kepada pemberita yang menunggunya.
"Terima
kasih kepada semua yang berada di sini sekian lama. InsyaAllah kita
akan teruskan perjuangan untuk melaksanakan agenda reformasi,
membangunkan negara dan memberikan kemakmuran kepada rakyat," katanya.
Gabungan politik baru tidak akan diumumkan malam ini.
Anwar jumpa pemimpin Amanah, DAP
10.45 malam:
Kediaman Anwar, Bukit Segambut - Anwar meninggalkan kediamannya untuk
bertemu dengan pemimpin Amanah dan DAP bagi membincangkan langkah
politik hari ini, yang dilakukan pembangkang dan sebahagian daripada PH
yang mungkin membawa kepada kejatuhan kerajaan.
Perkara itu disahkan setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador.
"Sekarang
Anwar bertemu dengan pemimpin gabungan yang lain. Beliau tiada di
rumah. Beliau beredar pada pukul 10.30 malam tadi dan pertemuan pada
pukul 11 malam," katanya.
10.35 malam: Hotel
Sheraton, Petaling Jaya - Selepas beredar daripada acara makan malam,
beberapa pemimpin PKR antaranya Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin serta
penyokongnya turun ke tingkat 3C, dan mengadakan satu lagi pertemuan di
sebuah bilik.
Difahamkan Azmin memberikan ucapan namun tidak dapat dipastikan kandungan ucapan tersebut.
Tidak
berapa lama kemudian, para penyokong dilihat keluar dari bilik tersebut
dan diarahkan oleh urusetia majlis agar tidak bercakap dengan
pemberita.
Anggota Parlimen PKR tiba di rumah Anwar
10.20 malam:
Kediaman Anwar, Segambut - Beberapa anggota parlimen PKR, antaranya Tan
Yee Kew (Wangsa Maju), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Fuziah
Salleh (Kuantan), P. Prabakaran (Batu), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai),
tiba di rumah presiden mereka.
Selain itu turut kelihatan ialah pemimpin veteran PKR Syed Husin Ali.
Apabila didekati pemberita, Fuziah berkata, "PKR okey, yang tak okey itu ada matlamat lain."
PH sudah mati, kata Annuar Musa
10.15 malam: Hotel
Sheraton, Petaling Jaya - Setiausaha Agung Umno Annuar Musa percaya PH
sudah hancur dan satu gabungan baru akan menggantikan tempatnya.
Walaupun
tiada apa-apa pegumuman dibuat berhubung kerajaan baru malam ini,
Annuar ketika ditanya sama ada PH sudah tamat, berkata: "Saya rasa
begitu."
Berkenaan jika ada satu gabungan baru, beliau menjawab: "Kemungkinan besar."
Berkenaan
penubuhan gabungan baru, anggota parlimen Ketereh itu berkata ia
bergantung kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Yang
di-Pertuan Agong.
Beliau juga menafikan Umno akan bergabung dengan Bersatu.
"Tiada (penggabungan), ia satu gabungan," katanya lagi.
Ditanya
berkenaan sama ada gabungan itu ada sokongan 130 anggota parlimen,
Annuar enggan memberikan angka khusus tetapi mendakwa mereka ada "lebih
separuh, ke arah dua pertiga."
Beliau turut memaklumkan Ketua
Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie
Apdal telah bertemu dengan Mahathir tadi.
Menurut Annuar, semua pihak dalam Umno "gembira" dengan perkembangan baru dan tiada masalah untuk bekerjasama dengan PAS.
"Mengapa tidak? Kita telah bekerjasama dengan PAS selama lima dekad," katanya.
Anwar: Perkembangan hari ini satu pengkhianatan
10 malam:
Kediaman Anwar, Segambut - Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan
perkembangan politik yang berlaku hari ini - melibatkan timbalannya
Azmin Ali, Bersatu, umno, PAS, GPS dan Warisan - adalah satu
pengkhianatan.
“Dan kita juga dikejutkan hari ini dengan
perkembangan yang bagi kita satu juga pengkhianatan kerana sudah janji
dan sebagainya, maka menyebabkan ada perubahan.
“Dan saya jangka akan berlaku dalam masa terdekat, mungkin esok,” kata Anwar kepada penyokongnya di rumahnya di Kuala Lumpur.
Sejumlah MP, Azmin beredar dari dewan
9.45 malam: Hotel
Sheraton, Petaling Jaya: Kebanyakan anggota parlimen Umno, Bersatu dan
juga Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dilihat keluar dari dewan, di mana
majlis makan malam berlangsung.
Rata-ratanya enggan menjawab soalan pemberita berkenaan kemungkinan penubuhan kerajaan baru.
Makan-makan saja," kata Ismail Sabri yang turut hadir di majlis itu.
Presiden MIC: Saya tak tahu tentang k'jaan baru, tapi Azmin keluar PKR
9.40 malam: Hotel Sheraton Petaling Jaya - Presiden MIC SA Vigneswaran memperkecil perkumpulan anggota parlimen malam ini.
Presiden Dewan Negara memberitahu pemberita beliau tidak tahu apa-apa tentang pembentukan kerajaan baru malam ini.
Bagaimanapun
beliau menyebut tentang Timbalan Presiden PKR Azmin Ali akan keluar PKR
dan juga kemungkinan Bersatu keluar daripada PH.
"Itu saja. Tubuh kerajaan baru - saya tak tahu lagi. Itu anda perlu tanya Tun (Dr Mahathir Mohamad," katanya lagi.
Vigneswaran berkata MIC akan mengikut pendirian BN.
Nga: K'jaan pintu belakang khianat mandat rakyat
9.35 malam:
Kerajaan yang ditubuhkan melalui pintu belakang adalah satu
pengkhianatan kepada mandat rakyat, kata Pengerusi DAP Perak Nga Kor
Ming.
"Satu-satunya kerajaan yang sah adalah yang menang dalam pilihan raya dan mendapat mandat daripada rakyat," ciapnya di Twitter.
"Siapa
saja yang cuba bentuk kerajaan pintu belakang dengan apa jua ulasan
adalah pengkhianat besar terhadap bangsa dan negara," katanya yang juga
timbalan speaker Dewan Rakyat.
9.25 malam: Presiden
PKR Anwar Ibrahim akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala
Lumpur esok.
Setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador
Rizal Mubarak memberitahu Malaysiakini yang pertemuan itu dijadual pada
pukul dua petang.
"Ia sudah dirancang lebih awal," katanya lagi.
Hadi beredar
9.25 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilihat meninggalkan dewan di mana majlis makan malam berlangsung.
Bersama pengiring, beliau berjalan ke arah lif dan meninggalkan hotel tersebut.
Tidak lama kemudian, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan beberapa anggota parlimen PAS juga meninggalkan dewan.
Pemimpin Bersatu masuk dewan
9.20 malam:
Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan
Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof tiba di majlis makan malam.
Mereka
disusuli Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Anggota
Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Perak Faizal Azumu
beberapa minit kemudian.
MP Petaling Jaya jawab pengkritik
9.15 malam:
Bekas pengerusi Bersih yang juga anggota parlimen Petaling Jaya Maria
Chin membalas pihak yang mengkritiknya atas kehadirannya di Hotel
Sheraton, Petaling Jaya pagi tadi.
"Ada banyak kenyataan yang tersasar, maklumat salah yang jahat, spekluasi dan bahasa kasar terhadap saya.
"Bagi mereka, anda sama saja seperti Umno kerana tidak mahu mengetahui perkara sebenar," katanya di Facebook.
Syarahan agama di rumah Anwar
9.10 malam:
Kediaman Anwar, Segambut - Lebih 25 kakitangan media masih berkumpul di
luar rumah Presiden PKR Anwar Ibrahim, di mana majlis sembahyang hajat
dan syarahan agama sedang berlangsung.
Mereka tidak dibenarkan masuk ke perkarangan rumah.
Bagaimanapun
menurut siaran langsung di Facebook, Anwar disertai Mufti Pulau Pinang
Wan Salim
Wan Mohd noor sedang memberikan syarahan kepada hadirin.
Syarahan tidak menyentuh isu politik.
Ronnie Liu: Saya ke sini secara kebetulan, ada pertemuan peribadi
8.51 malam: Hotel
Sheraton Petaling Jaya - Keberedaan anggota Jawatankuasa Pusat DAP
Ronnie Liu, yang juga adun Sungai Pelek, di sini mengundang perhatian.
Liu
berkata beliau di sana secara kebetulan, kerana terlibat dalam satu
pertemuan peribadi tetapi ia dibatalkan susulan apa yang berlaku di
situ.
Beliau berpandangan kerajaan baru tidak akan ditubuhkan
malam ini dan tidak merasakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan
ke hotel tersebut, walaupun sudah ramai anggota parlimen yang berkumpul.
Bagaimanapun Liu menyuarakan kebimbangan bahawa penubuhan kerajaan baru boleh terjadi dalam masa beberapa hari.
DAP buat mesyuarat tergempar esok
8.50 malam: DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan perkembangan politik terbaru, di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur esok.
Perkara itu dimaklumkan seorang sumber kepada Malaysiakini.
Ia dijadual bermula tengah hari. DAP merupakan parti yang memiliki bilangan anggota parlimen kedua teramai, selepas PKR.
Muhyiddin tiba, disambut tepukan
8.35 petang: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba pada kira-kira pukul 8.30 malam.
Sebaik
Muhyiddin memasuki sebuah dewan, di aras bawah di mana program Majlis
Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen diadakan, beliau disambut dengan
tepukan hadirin di situ.
Hadi, Zahid, Azmin dan MP lain tiba di Hotel Sheraton
8 malam: Hotel
Sheraton, Petaling Jaya - Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Umno
Ahmad
Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali serta pelbagai
anggota parlimen daripada BN, GPS dan PAS dilihat masuk ke dewan.
Pelayan
hotel mengumumkan hanya anggota parlimen dibenarkan masuk dan meminta
orang lain yang berada di situ untuk memberi laluan.
Apabila
mana-mana anggota parlimen tiba, dia akan dibawa masuk ke dewan dengan
pintu yang ditutup. Anggota polis juga membuat kawalan di sana.
Antara yang dilihat di hotel itu ialah:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (MP Kubang Kerian)
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa (MP Ketereh)
Anggota MPT Bersatu Redzuan Mohd Yusof (MP Alor Gajah)
Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin (MP Ampang)
Khairy Jamaluddin (MP Rembau)
Presiden MIC SA Vigneswaran
Timbalan Presiden MIC M Saravanan (MP Tapah)
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (MP Kota Bharu)
Nik Mohamad Nawawi (PAS – MP Pasir Puteh)
Bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor
Ketua Pemuda MCA Nicole Wong
Hadi, MP pelbagai parti tiba di Hotel Sheraton
8 malam: Hotel
Sheraton, Petaling Jaya - Anggota parlimen daripada GPS, BN dan PAS
dilihat masuk ke sebuah dewan. Antaranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Pelayan hotel mengumumkan hanya anggota parlimen yang dibenarkan masuk dan meminta orang lain yang hadir untuk memberi laluan.
"MP saja, sila masuk," kata seorang pelayan hotel.
Apabila
mana-mana anggota parlimen tiba, dia akan dibawa masuk ke dewan dengan
pintu yang ditutup. Anggota polis juga membuat kawalan di sana.
8 malam: Istana Negara - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disahkan telah meninggalkan istana.
Perkara
itu dimaklumkan pengawal keselamatan Istana Negara, tidak lama selepas
lebih 20 kenderaan kenamaan dilihat meninggalkan perkarangan istana
sekitar 7.30 petang tadi.
Difahamkan baginda meninggalkan istana selepas "tamat perjumpaan".
Zaid: Dapatkan mandat baru dari rakyat
7.55 petang: Pengerusi DAP Kelantan Zaid Ibrahim menggesa satu mandat baru dari rakyat.
"Saya
tak dapat percaya sandiwara ini tlah capai ke tahap Istana. Anda tidak
tambah bilangan (sokongan) di Parlimen untuk tubuh kerajaan.
"PH
runtuh, jadi buat pembubaran. Mandat baru dari rakyat. Mandat tidak
datang daripada pembangkang dan anggota parlimen yang bermasalah,"
katanya di Twitter.
Keadaan tenang di rumah Anwar
7.40 malam: Kediaman
Anwar, Segambut - Walaupun desas-desus dan kekecohan politk negara
sekarang, keadaan di rumah Anwar kelihatan tenang dan damai.
Kira-kira seratus penyokong berhimpun di kediammnya untuk menyertai majlis "Selawat Nuril Anwar."
Turut menyertai program itu ialah Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.
Setakat ini, belum ada tokoh utama kepimpinan yang hadir.
Mujahid: Kekal fokus agenda rakyat, bukan agenda desperado
7.40 petang: Naib
Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof menggesa semua pihak bertenang di saat
tanda-tanda kerajaan PH dilihat retak menunggu belah.
Beliau mengingatkan semua pihak bahawa keputusan Majlis Presiden PH berkenaan peralihan kuasa ialah jelas.
Tanpa
menyebut sebarang nama, Mujahid dalam ciapannya di Twitter: "Ada pihak
tak puas hati ambil kesempatan seolah-olah mereka lupa mandat rakyat.
Jangan kita dipalingkan dari fokus utama keputusan. Semua diminta
bertenang dan kekal fokus pada agenda rakyat, bukan agenda desperado."
Dalam
ciapan terdahulu, menteri di jabatan perdana menteri itu berkata "orang
yang terdesak akan membuat tindakan yang terdesak".
"Bagi kami,
mereka seperti awan, apabila mereka tidak menghalang (pandangan), hari
jadi indah dengan sinaran matahari. Pastikan orang yang terdesak tidak
menjadi penghalang kita. Kekal teguh bersama Pakatan Harapan!
"Move on
lah...Sebenarnya geng pintu belakang ini nak selamatkan negara atau
selamatkan diri? Saya yakin Tun Mahathir dan pimpinan PH akan hormat dan
pertahankan keputusan (yang dicapai sebelumnya)," katanya lagi.
7.31 petang: Istana Negara - Sejumlah 28 kenderaan dilihat meninggalkan Istana Negara. Kesemuanya dilihat bergerak dalam beberapa kumpulan.
Kumpulan
pertama dilihat keluar kira-kira pada pukul 7.25 petang, manakala
kumpulan terakhir, setakat ini, kira-kira pada pukul 7.35 petang.
Masih ada beberapa kenderaan dilihat di perkarangan istana.
Ke mana arah sokongan Warisan, GPS?
7.30 petang: Jika perubahan kerajaan berlaku malam ini, antara faktor yang memungkinkannya ialah sokongan daripada Warisan dan GPS.
Terdahulu ada laporan bertentangan berkenaan siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.
Bagaimanapun, sumber dalaman PKR membayangkan Anwar mengharapkan GPS dan Warisan untuk menyokongnya, dan bukan Mahathir.
"Terutama
GPS. Mereka ada ada pilihan raya negeri tahun ini dan ada kelebihan,
maka mengapa mereka akan sertai Mahathir?" kata sumber itu.
Mahathir
juga mencetuskan rasa tidak puas hati di Sabah apabila membuka cawangan
Bersatu di sana, walaupun dibantah ketua menteri dan presiden Warisan,
Shafie Apdal.
Tidak jelas apa yang menyebabkan mereka menyokong Mahathir.
GPS memegang 18 kerusi Parlimen, manakala Warisan sembilan.
Tanpa
mereka, gabungan Bersatu, Umno PAS, dan 10 anggota parlimen PKR hanya
memiliki 92 kerusi, kurang 20 kerusi untuk majoriti mudah dan membentuk
kerajaan.
Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan tiba
7.25 petang: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Kedua-dua setiausaha agung Umno dan PAS baru sahaja tiba.
Annuar
Musa dan Takiyuddin Hassan dilihat masuk ke sebuah bilik di mana semua
VIP berkumpul, diiringi Exco Melaka dari Bersatu, Rafiq Naizamohideen.
Ketika ditanya mengapa beliau berada di sini, Annuar berkata beliau datang untuk berjumpa "kawan-kawan MP".
Sumber: Bersatu, Umno, kem Azmin, GPS, PAS, Warisan di Istana Negara
7.11 petang:
Istana Negara - Sumber yang dekat dengan istana mengesahkan kepada
Malaysiakini bahawa enam parti yang kini berada di istana ialah Bersatu,
Umno, PKR (kem Azmin), GPS, PAS dan Warisan.
Pemimpin yang ada di sana ialah:
Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu)
Ahmad Zahid Hamidi (presiden Umno)
Azmin Ali (timbalan presiden PKR)
Abang Johari Openg (presiden GPS)
Shafie Apdal (presiden Warisan)
Abdul Hadi Awang (presiden PAS)
Sumber itu berkata Dr Mahathir Mohamad turut ada namun seorang pembantu perdana menteri menafikannya.
Pemimpin, MP Umno tiba di Hotel Sheraton
7.05 petang: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Beberapa pemimpin Umno dilihat tiba di sini.
Antara
yang dilihat ialah naib presiden Ismail Sabri serta anggota Majlis
Tertinggi seperti Tengku Adnan Mansor (Putrajaya), Shahidan Kassim
(Arau) dan Azalina Othman Said (Pengerang).
Selain itu, anggota
parlimen Umno yang turut ada ialah Ismail Muttalib (Maran), Mohd Shahar
Abdullah (Paya Besar) dan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).
Anggota Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Noor turut dilihat ada di sini.
Sementara
itu, pegawai presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Fadzlette Othman Merican
turut dilihat. Mustapa Mohamed (Jeli) pula baru tiba.
Kesemuanya enggan menyatakan sebab keberadaan mereka.
PM tak akan buat sidang media, kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri
7 petang: Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengadakan sidang media malam ini.
Ia
sebagai respons kepada permintaan pemberita yang inginkan pengesahan
berkenaan kemungkinan ada sidang media atau pengumuman besar oleh
perdana menteri nanti.
Jurucakap itu juga berkata
Mahathir tidak akan ke Hotel Sheraton Petaling Jaya, di mana beliau
dikatakan akan mengadakan sidang media tersebut.
Sumber: Dr M, wakil 6 parti di Istana Negara
7 petang: Istana Negara - Sumber yang rapat dengan istana memberitahu Malaysiakini bahawa pemimpin daripada enam parti kini telah tiba.
Bagaimanapun sumber itu tidak menyatakan nama parti tersebut.
Mahathir juga telah tiba.
Setakat ini, Malaysiakini boleh mengesahkan pemimpin GPS dan Umno dalam perjalanan ke istana.
Kumpulan lain yang terlibat dalam pertemuan hari ini termasuklah Bersatu, Warisan dan anggota parlimen PKR yang menyokong Azmin.
PAS pula mengadakan pemukiman dengan Umno di Janda Baik, Pahang, pada hujung minggu ini.
6.35pm:
Hotel Sheraton Petaling Jaya - Para penyokong mula berkumpul di sini,
di mana pemimpin PKR yang menyokong Azmin sudah berada di sini sepanjang
hari.
Rata-ratanya berlegar di hotel tersebut.
Kira-kira
pukul sembilan pagi hari ini, pemimpin PKR seperti Zuraida Kamaruddin,
Kamaruddin Jaafar, Saifuddin Abdullah dan Rashid Hasnon sudah berada di
sini.
Anggota parlimen PKR yang ada pula antaranya Willie Mongin
(Puncak Borneo), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Mansor Othman
(Nibong Tebal), Edmund.
Kereta Edmund Santhara Kumar (Segamat) pula dilihat di lobi hotel.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka mengadakan sidang media di sini nanti.
Zahid sah ke Istana Negara
6.30 petang: Istana Negara - Malaysiakini boleh mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam perjalanan ke Istana Negara.
Perkara itu disahkan oleh seorang pemimpin kanan Umno.
Satu
lagi sumber Umno berkata pertemuan di istana sepatutnya berlaku lebih
awal tetapi tertangguh kerana mesyuarat GPS berlangsung lebih lama
daripada jangkaan.
Terdahulu kenderaan ketua GPS Abang Johari Openg dilihat ada di perkarangan istana.
'PAS tunggu dan lihat'
6.30 petang:
Di saat beberapa pemimpin telah tiba atau dalam perjalanan ke Istana
Negara, masih belum ada sebarang khabar berkenaan penglibatan PAS.
Naib
Presiden PAS Mohd Amar Abdullah memaklumkan pihaknya mengambil
pendirian 'tunggu dan lihat' berhubung spekulasi kemungkinan perubahan
kerajaan, ekoran pertemuan kumpulan politik hari ini.
Katanya, setakat ini PAS tidak membuat sebarang mesyuarat tergempar.
"Saya
ada di Kuala Lumpur, tak ada mesyuarat (PAS), saya ada urusan lain.
Saya baru balik Janda Baik juga (pemukiman Muafakat Nasional).
"Kita pun tunggu dan lihat (perkembangan), sebab itu urusan PH dan perdana menteri," katanya.
Polis bersedia
6.20 petang:
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan
polis dalam keadaan sedia untuk kemungkinan sidang media oleh Perdana
Menteri Dr Mahathir MOhamad.
Ia selepas Malaysiakini memintanya
mengesahkan berhubung makluman berkenaan kawalan keselamatan terhadap
pemimpin di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
Sumber politik memberitahu Malaysiakini bahawa Mahathir dijangka mengadakan sidang media di sana selepas ke Istana Negara.
MP PKR beredar dari rumah Anwar
6.15 petang: Rumah Anwar, Segambut - Beberapa MP PKR yang menyokong Anwar dilihat beredar.
Antaranya
Nik Nazmi (Setiawangsa), Johari Abdul (Sungai Petani), Saifuddin
Nasution (Bandar Bahru Kulim), Wong Chen (Subang), Chang Lih Kang
(Tanjung Malim), Lee Boon Chye (Gopeng),
William Leong (Selayang), Fahmi
Fadli (Lembah Pantai), Xavier Jayakumar (Kuala Langat).
Mereka enggan bercakap dengan pemberita.
Apakah Dr M ke Istana Negara?
6.10 petang: Istana Negara - Sumber yang dekat dengan istana berkata pihaknya menjangkakan kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sumber berkata Mahathir dijangka tiba lebih awal, tetapi belum berbuat demikian.
Sementara itu, Malaysiakini boleh mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dilihat berada di perkarangan istana.
Zahid tak lama di PWTC
6 petang: PWTC - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Umno, tetapi tidak lama.
Sumber
Umno mengatakan Zahid bergerak ke Istana Negara susulan rancangan
sidang media di Hotel Sheraton Petaling Jaya, tetapi dakwaan itu tidak
boleh disahkan secara bebas.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dijangka diadakan akan dipengerusikan oleh setiausaha agung Annuar Musa.
Penyokong Anwar tiba di Segambut
5.50 petang: Rumah Anwar, Segambut - Kegiatan mula rancak apabila anggota parlimen PKR yang menyokong Anwar mula tiba di sini.
Antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang).
Di tengah-tengah pergerakan politik hari ini, penyokong presiden PKR itu menggesa himpunan diadakan di sini.
5.38 petang: Hotel Ritz Carlton - Sejak pagi tadi tumpuan ke arah kem Azmin dalam PKR, Bersatu, GPS, PAS dan Umno.
Bagaimanapun
Warisan juga kini tampak turut terlibat apabila presidennya Shafie
Apdal dilihat berada di sini, di mana pemimpin GPS berkumpul.
Beliau tidak bercakap dengan pemberita dan terus masuk ke hotel.
Warisan memiliki sembilan anggota parlimen.
5 petang: Ringkasan pertemuan dan perkembangannya:
Hotel Sheraton, Petaling Jaya - pemimpin PKR yang menyokong Azmin, beberapa pemimpin Bersatu.
Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur - Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan.
Istana Negara - Wartawan mula berkumpul sejak tengah hari tadi, konvoi kenderaan turut dilihat memasuki kawasan istana.
Rumah Anwar di Bukit Segambut - Penyokong mula berkumpul untuk majlis bacaan Yaasin dan sembahyang hajat.
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) - Pemimpin Umno berkumpul, ada yang masih dalam perjalanan.
Ibu pejabat PAS - Sumber PAS mengatakan mesyuarat mungkin diadakan malam ini, tetapi ia belum disahkan.
Pagi
ini, sejumlah anggota parlimen PKR yang menyokong timbalan presiden
Azmin Ali mula berkumpul di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
Ia terletak hanya kira-kira satu kilometer dari ibu pejabat Bersatu, di mana pemimpin parti itu turut bermesyuarat.
Ia
mencetuskan spekulasi bahawa kem Azmin mungkin akan bekerjasama dengan
Bersatu. Bagaimanapun desas-desus politik kian meningkat apabila jelas
parti pembangkang juga terlibat.
Di Hotel Ritz Carlton di Kuala
Lumpur, pemimpin GPS diketuai Abang Johari Openg mula berkumpul pada
tengah hari. Tidak jelas bila mereka tiba dari Sarawak.
Pada masa
sama, pemimpin Umno, yang mengadakan pemukiman dengan PAS di Janda Baik,
Pahang pagi tadi mula kembali ke ibu pejabat parti di PWTC, Kuala
Lumpur, pada petang tadi.
Pemimpin DAP, Amanah, dan PKR yang
menyokong presiden Anwar Ibrahim tampak tidak termasuk dalam pergerakan
hari ini memandangkan beberapa yang dihubungi Malaysiakini, berkata
mereka tidak tahu-menahu dengan apa yang berlaku.
Mereka yang terbabit pula mengunci mulut di tengah-tengah keadaan yang masih berlangsung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.