Jumaat, 28 Februari 2020

Azmin dan sembilan MP lain sertai Bersatu - sumber

HASPAIZI ZAIN




Sumber yang dekat dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Mohamed Azmin Ali dan sembilan anggota parlimen lain telah menyertai parti itu.

Ini selepas Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa "36 ahli parlimen Bersatu" menghadiri mesyuarat sebelumnya.

Bersatu sebelum ini hanya mempunyai 26 ahli parlimen termasuk Dr Mahathir Mohamd. Tambahan 10 adalah dari kem Azmin. Ini menjadikan Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara sebagai ahli parlimen bukan-bumiputera pertama menyertai Bersatu.

Malaysiakini difahamkan bahawa Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin tidak menyertai Bersatu. Ini selepas Jonathan menafikan bersekutu dengan kem Azmin semalam, dan mengatakan bahawa dia tidak pernah keluar dari PKR.

Ahli parlimen Bersatu telah bertemu Mahathir yang kini kembali menjadi pengerusi mereka, di Yayasan al-Bukhary.

Marzuki berkata mesyuarat itu memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Marzuki tidak mengatakan sama ada keputusan itu dibuat sebulat suara. Mahathir, yang merupakan perdana menteri sementara, berhasrat untuk membentuk kerajaan perpaduan yang "tidak berpihak pada mana-mana parti", selain enggan bekerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun, Mahathir kemudian berkata Muhyiddin mempunyai sikap yang lebih santai dan sanggup bekerjasama dengan Umno sebagai sebuah parti.

Sekiranya keputusan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dibuat sebulat suara, maka Bersatu bersama BN dan PAS akan mempunyai 97 Ahli Parlimen. PH ketika ini mendapat sokongan 92 ahli parlimen dari PKR, DAP, dan Amanah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.