Rabu, 26 Februari 2020

Artis pun berdebar menanti drama politik negara

NADIA AZAM




Penyanyi Aishah mengaku drama politik yang tercetus sejak Ahad menjadi semakin menarik untuk diikuti perkembanganya.

Pun begitu, Aishah, 55, berkata, biarlah apa jua situasi politik berlaku dalam negara, semuanya diharapkan agar selesai dengan secepat mungkin.

“Seboleh-bolehnya cepat selesaikan. Selepas itu fikirkan dan lakukan yang terbaik untuk rakyat. Beri apa rakyat nak,” katanya kepada Malaysiakini.

Pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu pada masa sama menyatakan kebimbangannya sekiranya negara ini jatuh pada tangan ahli politik yang salah.

“Sudah tentu jahanamlah. Kalau dah dia asyik fikir diri sendiri dan karier politik semata-mata susahlah.

“Sedangkan kita nak pemimpin politik yang boleh bantu rakyat, bukannya kejar wang dan kuasa,” katanya yang bergiat bersama Amanah.
Penyanyi Kemaafan Dendam Yang Terindah itu berkata, pada awal apa yang berlaku memang membingungkan fikirannya, namun situasi itu berubah semakin jelas apabila setiap pemimpin politik yang terbabit sudah berani menonjolkan sifat mereka yang sebenar.

"Ia menarik, sangat menarik walaupun pada awal ia amat memeningkan kepala kerana susah nak baca apa berlaku. Tapi sekarang sudah semakin jelas, kita boleh tahu siapa sebenar ahli politik yang ini atau yang itu.

“Lebih jelas kerana sudah tahu who is doing what. Saya harap, bila sudah ada pemimpin baru, dia boleh nampak siapa yang boleh diharapkan, dan siapa tidak selepas ni,” katanya.
Istana Negara terus menjadi tumpuan ketika Agong menemu 
bual seorang demi seorang ahli parlimen.
Senario politik diteruskan hari ini, dengan Dr Mahathir Mohamad, meneruskan tugas beliau sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri dan kabinet yang baru.

Landskap politik negara berubah selepas kerajaan PH dibubarkan secara automatik susulan perkembangan drastik BN dan PAS dalam usaha penjajaran semula kuasa dengan gabungan Perikatan Nasional direncana dibentuk untuk menggantikan kerajaan PH.

Mahathir pula dikatakan mencadangkan agar kerajaan perpaduan - iaitu tanpa parti-parti politik - diwujudkan.

Bersatu mengisytiharkan ‘bercerai’ daripada sekutunya dalam PH menyaksikan gabungan itu kini dianggotai DAP, PKR dan Amanah.

Awie harap ekonomi pulih

Vokalis Wings, Awie pula berkata, dia yakin dengan niat dan misi Dr Mahathir yang ingin membangunkan ekonomi serta membersihkan negara daripada imej rasuah.

Bagaimanapun, menurutnya, usaha tersebut tidak dapat dilihat oleh individu yang bekerja dalam satu kelompok dengannya sebelum ini.

“Bila saya lihat kembali Dr Mahathir menghiasi politik dengan menjadi perdana menteri, saya jangka beliau akan dapat bersihkan kemelut dan nama negara.

“Saya tak cakap pemerintahan terdahulu tu teruk. Tapi saya percaya misi dijalankan Dr Mahathir sangat penting, cuma sayangnya, mereka yang berada di bawahnya tak dapat lihat apa beliau lihat,” katanya.
Mengulas gabungan Perikatan Nasional - sekiranya menjadi kenyataan - kata pemilik nama asal Ahmad Azhar Othman itu, dia bersetuju demi kebaikan Melayu.

“Ni perkara penting kepada orang Melayu. Buka mata, ambil iktibar apa berlaku sebelum ni,” katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut maksud di sebaliknya.

Penyanyi Harapan itu juga menyatakan harapannya agar perubahan politik dalam negara dapat memulihkan ekonomi negara seperti suatu ketika dulu.

“Berharap sangat ada hikmah di sebalik apa berlaku, terutama ekonomi negara kembali pulih. Saya nak lihat matawang kita jauh naik melebihi Singapura,” katanya.

Macam undang-undang rimba - Zed

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi berharap konflik politik yang sedang segera pulih demi kebaikan rakyat.

Katanya, keadaan negara sekarang boleh diibaratkan seperti menggunakan undang-undang rimba.

“Saya berharap supaya politik berada di landasan, kembali normal. Sekarang kita tak normal, sepatutnya rule of law tapi dah jadi rule of jungle. Ni yang buat rakyat rasa nak marah,” katanya.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Rozaidi Abd Jamil itu berharap perubahan tampuk pimpinan politik dalam negara diharapkan dapat memberi faedah kepada penggiat industri seni.

Katanya, kerajaan baru nanti harus mengambil iktibar dan tidak memberi janji-janji kosong sama seperti PH yang mengabaikan anak seni.

“Lantiklah orang yang boleh buat kerja, bukan diri rasa bagus. Kerajaan letak individu yang konon pandai, tapi tak pandai pula.

“Harap kerajaan baru nanti ambil kira keluhan rakyat khusus penggiat seni,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.