Khamis, 30 Januari 2020

Terpikat tajuk 'korupsi', Mufti Perlis bakal beraksi di Istana Budaya

NADIA AZAM




Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengaku menerima lamaran Fauziah Ahmad Daud bagi menjayakan pementasan Korupsi Dewan Semandung di bawah produksinya selepas ‘terpikat’ dengan judul naskhah berkenaan.

Beliau yang sebelum ini pernah beberapa kali menolak lamaran produksi lain menjelaskan, tema "korupsi" bukan asing buatnya kerana ia antara amalan negatif yang biasa menjadi topik perbincangan dalam ucapan dakwahnya.

“Sebelum ni memang ada ditawarkan, cuma saya fikir ia tak bersesuaian. Kali ni, yang membuatkan saya tertarik untuk muncul julung kali dalam pementasan adalah kerana tajuk 'korupsi' tu.

“Perkataan 'korupsi' menarik minat saya untuk membabitkan diri sebab dah menjadi tugas saya untuk mendidik masyarakat menentang budaya tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Asri berkata, perkara itu masih berada di peringkat perbincangan.

“Saya belum lihat jalan penceritaan secara terperinci. Saya tak tahu korupsi mengenai apa,” katanya.

Mohd Asri ditemui pada majlis pelancaran teater Korupsi Dewan Semandung di Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini.

Naskhah arahan Khir Rahman itu akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga hari bermula 28 Februari ini.

Selain Mohd Asri, barisan pelakon yang bakal menjayakan pementasan tersebut ialah Vicha, Tauke, Abam Bocey, Mark Adam, Joey Daud, Azrul Chemat, Tapai dan Chiwan serta pelakon baharu, Hanna Halim.

Menurutnya, kemunculannya di atas pentas itu nanti juga bukan saja-saja sebaliknya bertujuan menyampaikan mesej berbentuk didikan kepada penonton.

“Selagi saya boleh sampaikan mesej baik kepada penonton, apa salahnya.

“Tapi sekiranya hanya sekadar tampilkan wajah tanpa sebab yang wajar saya rasa tak perlu (terima tawaran tersebut),” katanya.

Mengulas pembabitannya, Mohd Asri berkata, tidak akan ada masalah buatnya untuk muncul pada pementasan berkenaan memandangkan beliau diberi tugas untuk membawa peranan sebagai dirinya sendiri.

“Macam tugas harian yang biasa saya lakukan. Apabila ada perkara salah, saya akan tegur, berikan pandangan dan jelaskan sebabnya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.