Khamis, 2 Januari 2020

'Segerakan pembaharuan, bukan berebut kuasa' - Bersih ingatkan PH

MALAYSIAKINI




Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil atau Bersih hari ini membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menunaikan janji-janjinya tetapi sebaliknya membenarkan budaya “politik longkang” dan terus menyemarakkan “naratif perkauman dan agama”.

Dalam satu kenyataan, badan pemantau pilihan raya itu berkata PH seharusnya memberi keutamaan kepada janji-janji untuk memperbaharui institusi-institusi utama supaya mereka boleh menjadi benar-benar bebas dan memantau mana-mana kerajaan kleptokratik dan penyalahgunaan kuasa pada masa depan.

"Lebih 19 bulan sudah berlalu sejak PH mengambil alih kerajaan dan kita lihat hanya sedikit manifesto ‘tiang kedua’ mereka untuk memperbaharui institusi dan struktur politik negara ini yang dilaksanakan.

"Daripada memenuhi jangkaan rakyat terhadap Malaysia Baru, kita disuap dengan politik longkang, perebutan, retorik perkauman dan agama yang mengugat kestabilan negara dan lesapnya harapan di kalangan pengundi yang mahukan perubahan," kata Bersih.

"Hari ini adalah satu rahsia terbuka bahawa wujudnya rebutan kuasa mengenai siapa yang akan menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, 94, apabila beliau melepaskan jawatannya atau meninggal semasa perkhidmatnnya,” kata Bersih.

"Oleh itu, Majlis Presiden PH harus memulihkan kestabilan politik dengan mengumumkan pelan peralihan yang jelas dengan menetapkan tarikh pengunduran.

"Kami berpendapat bahawa dalam sistem demokrasi parlimen Westminster, bukan untuk PM sedia ada memilih penggantinya atau mahupun menetapkan tarikh peralihan tetapi untuk pihak-pihak dalam kerajaan campuran untuk membuat keputusan berkenaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.