Khamis, 2 Januari 2020

PRK Kimanis: Mohamad Alamin dipilih calon BN



KIMANIS - Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membuat pengumuman calon BN itu pada sidang media di Pusat BN Kimanis di sini hari ini.

Mohamad, 48, merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada calon Parti Warisan Sabah, Dr Daud Yusof.

Bung Moktar berkata, BN Sabah membuat empat tapisan bagi mencari calon yang menepati kriteria ditetapkan oleh pucuk pimpinan.

"Mohamad dipilih kerana menepati kriteria ditetapkan dan mampu menjadi pilihan rakyat di Parlimen Kimanis," katanya.

Sebelum pengumuman dibuat, BN Sabah turut mengadakan mesyuarat yang turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Mohamad berterima kasih kepada pimpinan BN pusat dan Sabah atas kepercayaan diberikan kepadanya sebagai calon BN pada PRK Parlimen Kimanis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini manakala penamaan calon pada 4 Januari dan pengundian awal pada 14 Januari.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam PRU14 pada Mei 2018.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU14, Anifah yang juga bekas menteri luar bertanding atas tiket BN dan memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi.

Anifah mengumumkan keluar UMNO, parti komponen BN pada September 2018 dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas.

Pada 18 Jun 2018, Karim memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis mengandungi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.