Memandangkan hari ini, ramai di antara kita yang menjadi pakar penyakit virus Wuhan atau N-Coronavirus, saya ingin menceritakan serba-sedikit sejarah wabak koro yang pernah menimpa republik Singapura pada tahun 1967.
Di Thailand, 10 tahun kemudian, 2 ribu orang mengalami dan menderitai wabak koro ini dan doktor ketika itu merawatnya sebagai sindrom psiko-seksual.
Koro ikut melanda beberapa negeri Afrika awal dekad-dekad lalu.
Saya masih ingat pada tahun 2008, Kadir Jasin pernah menulis di blog beliau mengenai koro, yang menurut beliau: “sejenis penyakit yang menyebabkan orang hilang kejantanan atau keberanian”.
Setiap kali koro melanda, setiap kali itu akan tercetus sama bahang perkauman. Mungkin elok kita namai sahaja wabak koro sebagai wabak rasisme.
Bulan akan datang, sebuah novel baru saya, sebuah satira politik, akan segera terbit dengan judul “Rusuhan Koro”. Ia mengenai epidemik atau wabak aneh yang melanda sebuah negeri bernama Hujung Manani.
Penyakit itu bernama koro, yang mengakibatkan lelaki mengalami pencerutan zakar sementara wanita pula dilanda pengecutan payu dara.
Dalam satira itu, wabak pelik ini menyebabkan berlakunya rusuhan dan membantu kejatuhan sebuah kerajaan autoritarian.
Bayangkanlah lelaki dari golongan “establishment” di sebuah negeri tiba-tiba “tiada telor”.
Sebahagian dari fragmen novel ini telah diterbitkan di Mekong Review (Isu 14) dengan judul “The Koro Report”.
Apakah koro?
Ia adalah sejenis sindrom berhubung budaya yang dikenali di Asia Tenggara.
James W Edwards dalam makalah beliau “Indigenous Koro, A Genital Retraction Syndrome of Insular Southeast Asia: A Critical Review” secara ringkas mendefinisikannya sebagai rungutan betapa alat kelamin lelaki menjadi kecut atau mencerut ke dalam dan kebimbangan keterlaluan yang ia akan mengakibatkan kematian: “complaints of genital hyperinvolution and fear of impending death.”
Koro dalam kalangan orang Cina dirujuk sebagai “suoyang” yakni “suo” (termasuk ke dalam), manakala “yang” adalah alat kelamin.
Istilah koro ini dipercayai datang dari dialek Makasar-Bugis yang mana ia turut disebut dalam pelbagai dialek Melayu lain sebagai kuru, kerukul, keroh dan keruk.
Terdapat argumen mengatakan koro itu berasal dari kata kura-kura. Ini kerana kepala kura-kura, seperti takuk zakar, boleh masuk dan keluar ke dalam cengkerangnya.
Wabak aneh koro di Singapura ini telah meletus pada 29 Okt 1967 di mana sebuah akhbar melaporkan tentang terdapat sejumlah pesakit berbangsa Cina mengadu zakar mereka hilang.
Para tabib Cina percaya penyakit ini harus ditangani segera, atau zakar akan hilang buat selama-lamanya.
Secara mendadak juga jumlah jualan daging babi merosot. Mereka percaya sakit koro ini datang dari babi yang tidak divaksin. Cara merawat koro pula ialah dengan menjamah zakar harimau.
Pada 31 Okt 1967, pesakit awal koro dikejarkan ke bahagian kecemasan Singapore General Hospital di Jalan Thomson dan menjelang 3 Nov 1967, 97 kes pesakit lelaki dicatatkan dalam tempoh sehari. Pada 2 November sahaja, 11 pesakit dirujuk ke sini.
Tiba-tiba terjadi kekecohan dan kepanikan kerana apa lagi yang paling mencemaskan untuk seorang lelaki, kalau bukan tiba-tiba zakarnya menghilang tiba-tiba tanpa sebab-musabab? Bayangkan kalau yang menderitai hilang zakar itu orang besar-besar?
Secara total 469 kes dilaporkan. 454 terdiri dari kaum lelaki, sementara 15 pengadu wanita.
Pada 4 Nov 1967, Singapore Medical Association diikuti Kementerian Kesihatan 2 hari kemudiannya menghebahkan bahawa koro hanyalah satu ketakutan dan bukan penyakit fizikal.
Pihak berwajib juga menegaskan wabak tersebut tidak ada kena-mengena dengan ternakan atau daging babi.
Pihak berkuasa pulau itu juga dengan segera menubuhkan unit perubatan dari Hospital Umum Singapura untuk bergabung dengan sebuah lagi unit perubatan Jalan MacPherson untuk menilai dan menyelidik penyakt aneh ini. Mereka memulai kerja pada 1 Apri 1968 dan mengakhirinya pada 27 Julai tahun yang sama.
Tidak semua pesakit hadir semula ke hospital, makanya kumpulan penyelidik itu terpaksa mengumpulkan maklumat daripada sejumlah pengidap sahaja.
444 pesakit atau pengadu adalah berbangsa Cina, 4 orang dari etnik Melayu dan 6 lagi berbangsa India. Rangkuman usia pengidap adalah seawal tujuh bulan, dan seberusia 70 tahun.
Pasukan penyelidik menemui 48 pesakit menghabiskan pendidikan setakat sekolah rendah Cina, 32 lagi menamatkan sekolah menengah Cina dan 22 serta 23 lagi tamat persekolahan Inggeris peringkat rendah dan menengah.
Terdapat 3 takah serangan koro. Pertama perasaan berlakunya pengecutan zakar yang ekstrem dan tiba-tiba sehingga takah kedua, menyebabkan panik melampau dan mendorong berlaku pengsan, lemah, sukar bernafas, sakit kepala luar biasa dan kekejangan. Tahap ketiga ialah apabila zakar kembali menjadi normal.
Koro ini didapati berulangan beberapa kali. Mengapakah penyakit – yang bukan penyakit – seperti koro ini boleh mendatangkan panik?
Terdapat satu pandangan, koro seperti penyakit budaya lain (histeria, amuk, latah) tercetus oleh “cerminan neuron” atau “mirror neuron theory”.
Cerminan neuron ini merujuk apabila sirkut neuron tertentu dalam otak kita diaktifkan oleh melihat keadaan seorang yang lain dalam lingkungan.
Tindakbalas neuron itu mengakibatkan berlaku kepanikan secara “mass hysteria”. Ia satu misteri otak manusia apabila kita boleh meniru aksi orang tanpa sebab lojik.
Kajian pasukan perubatan Singapura dalam tahun 1968 itu menumpukan kepada histeria atau kekeliruan orang awam terhadap jangkitan koro ini. Apatah lagi waktu itu media memainkan peranan menyebarkan kekalutan dan “fake news’” di mana penyakit ini (yang bukan penyakit pun) disandarkan kepada babi.
Khabar angin yang tersebar mulut ke mulut telah membuatkan sejumlah lelaki (dan bilangan kecil wanita) percaya mereka mengalami koro.
Keadaan ini semakin buruk apabila waktu itu, radio dan televisyen (yang “masih” baru dicipta) mempengaruhi mentaliti awam bahawa koro memang benar-benar sedang berlaku.
Pihak kerajaan Singapura mendapati tatkala itu, kepercayaan akan wabak koro menjadi lebih buruk dan tidak terkawal lantaran terdapat propaganda dan kenyataan tidak benar; laporan pasukan perubatan memutuskan, saya kutip: “the present epidemic shows also how easily public fears can be caused by injudicious propaganda and statements, and how easily too they can be assuaged.
“The newspapers, television and radio would seem to be powerful tools in such circumstances. It also seems apparent that the best way to deal with a rumour-initiated condition is prompt and effective counter propaganda which can take effect practically instantaneously.”
Pada tahun 1967 itu, khabar angin mengenai wabak koro ini turut dibumbui oleh bahang perkauman, di mana terdapat tohmahan ia terjadi ekoran sebaran kaum tertentu.
Suhu rasial dengan mudah meningkat ketika itu memandangkan perpaduan kaum sangat lemah dan orang Melayu Singapura mengalami trauma perpisahan dengan Malaysia secara tiba-tiba.
Justeru terdapat anasir yang tidak bertanggungjawab – cerminan neuron dalam masyarakat – menggunakan medium khabar angin untuk menyemarakkan kebencian sesama kaum.
Jika kita membandingkan keadaan hari ini, ketika kepanikan melanda akibat N-koronavirus, terdapat anasir tidak bertanggungjawab atau cerminan neuron yang serupa. Mereka menggunakan media sosial untuk mengambil kesempatan menebarkan kebencian dan pemomokan terhadap bangsa tertentu.
Malang sekali, yang ikut memudahcarakan khabar angin dan “fake news” ini terdiri dari bekas pemimpin negara, dan pihak tertentu yang sepatutnya melindungi keutuhan fabrik (pelbagai) kaum dan kepercayaan.
Dalam fikiran orang Melayu, pemimpin adalah bayang-bayang Allah di muka bumi, bukan cerminan neuron yang mengaktifkan latah, amuk, apatah lagi koro.
Saya mencerita lebih panjang hal koro ini dalam novel saya itu. ‘Rusuhan Koro’ akan terbit bulan hadapan oleh Legasi Oakheart.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.