Jumaat, 27 Disember 2019

Zamihan kata pernah sumpah laknat dengan wanita mengaku Nabi Isa

MALAYSIAKINI




Pendakwah bebas Dr Zamihan Mat Zin berkongsi pengalamannya bermubahalah dengan seorang wanita yang mendakwa dirinya adalah Nabi Isa.

Zamihan yang merupakan presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), mendakwa wanita itu akhirnya meninggal dunia kerana menghidap kanser tahap empat.

Istilah "mubahalah" bermaksud saling laknat melaknati bagi menyokong hujah benar dan menolak hujah palsu.

"Di Malaysia, kes Ayah Pin dan Haji Kahar yang mengaku Nabi pun boleh dibawa bermubahalah sebenarnya.

"Saya sendiri pernah bermubahalah dgn seorang wanita yang mendakwa dia sebagai Nabi Isa.

"Akhirnya wanita itu mati dengan kanser tahap empat secara tiba-tiba," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

 Beliau mengulas kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad berkata istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai "li'an" - iaitu apabila suami tidak dapat menghadirkan empat saksi selepas menyaksikan isterinya berzina.

Manakala Istilah "mubahalah" (saling laknat melaknati) yang disebutkan dalam Surah Ali Imraan ayat ke-61 pula tidak merujuk kepada perundangan Islam, kata Zulkifli dalam kenyataan 23 Disember lalu.

Kenyataan itu beberapa hari selepas bekas Perdana Menteri Najib Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru, Jumaat lalu bagi menafikan pembabitannya dalam pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya membuat dakwaan mengejutkan melalui Sumpah Berkanun (SD) dari Penjara Kajang, antaranya Najib sendiri yang memberi arahan untuk membunuh Altantuya.

Zamihan berkata lagi, walaupun mubahalah tiada dalam Akta Pentadbiran Islam Negeri termasuk untuk wilayah persekutuan, tidak bererti ia tiada dalam perundangan Islam.

"Ketahuilah bahawa dalam Islam terdapat sumpah atas nama Allah, sumpah Li’an (sumpah laknat menafikan kandungan isteri) dan sumpah laknat mubahalah bagi mempertahankan kebenaran.

"Sumpah dalam kitab-kitab Fikah disebut dengan Bab al-Ayman Wan Nuzur (Bab Sumpah dan Nazar). Boleh rujuk surah Ali Imraan ayat 77 dan hadis-hadis Nabi Muhammad, kisah para sahabat yang berkaitan," katanya.

Terjemahan Surah Ali Imraan ayat ke-77: "Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

Bagi Zamihan, Najib boleh bersumpah laknat bagi menjawab dakwaan terhadapnya.

"Demi melepaskan diri dari fitnah dan tuduhan jahat, maka Najib berhak bersumpah laknat bagi membersihkan tuduhan jenayah atas dirinya jika dia berada di pihak benar.

"Jadi bersabarlah untuk melihat hasilnya dalam ketentuan Allah," katanya lagi.

LIHAT FB DI SINI


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.