KUALA LUMPUR: Sidang kemuncak negara-negara Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini yang dihadiri 3 ketua negara yang penting digambarkan sebagai “game changer” dalam hubungan dunia Islam dengan Arab Saudi.
Pakar meramalkan kesan domino yang boleh meleraikan cengkaman agama dan politik Saudi yang mewah dengan hasil minyak ke atas kerajaan-kerajaan Islam.
Mereka berkata, Dr Mahathir Mohamad juga berpaling mencari sumber-sumber lain untuk pemindahan teknologi yang memberi manfaat kepada Malaysia, selepas sekian lama bergantung pada teknologi Barat yang mahal dan kaveat-kaveatnya seperti pembelian senjata bernilai berbilion dolar.
Seorang bekas diplomat yang pernah berkhidmat di Timur Tengah berkata, dari segi politik, Sidang Kemuncak KL mencabar mitos yang memaksa pemimpin Islam menurut kehendak Riyadh.
“Ia sudah menyahkan mitos ini, kepercayaan bahawa Riyadh mengetuai dunia Islam kerana bergelar ‘khadimul haramain’,” kata diplomat berpengalaman itu, yang minta FMT merahsiakan namanya.
Gelaran ‘khadimul haramain’, atau Penjaga 2 Kota Suci, digunakan oleh raja-raja Saudi, menekankan betapa pentingnya kawalan ke atas Mekah dan Madinah – titik fokus jutaan orang Islam yang mengerjakan ibadah haji dan umrah setiap tahun.
Sidang Kemuncak KL itu berlatarkan kempen Riyadh dalam kalangan sekutunya, menyebabkan kebanyakan negara Teluk tidak menghadirinya dan hanya menyaksikan kehadiran perwakilan taraf rendah dari negara-negara bukan Arab penerima sumbangan Saudi.
FMT minggu lepas memetik sumber diplomatik berkata, Saudi tidak berpuas hati selepas Mahathir enggan akur pada tekanan mendesak sidang itu dibatalkan, yang pada awalnya merupakan usaha bersama Malaysia, Pakistan dan Turki.
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan membatalkan penyertaannya pada saat-saat akhir, peristiwa yang disahkan sumber akibat tekanan ke atas negara Asia Selatan itu yang pernah menerima sumbangan bernilai berbilion dolar daripada Saudi kerana ia amat memerlukan wang sejak Khan menjadi perdana menteri tahun lepas.
Tiga ketua negara yang hadir merupakan antara musuh ketat Saudi: Recep Tayyip Erdogan dari Turki, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dari Qatar, dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.
Beberapa kumpulan pro-Saudi di Malaysia, termasuk daripada pentadbiran lepas yang secara terbuka berpakat dengan negara Wahhabi itu, mendakwa ketiadaan pemimpin lain adalah bukti kegagalan sidang tersebut.
Pemerhati Timur Tengah tidak bersetuju
Ahli akademik Palestin yang berpangkalan di London dan pengkritik Saudi yang lantang, Azzam Tamimi berkata, Sidang Kemuncak KL menunjukkan pemimpin Islam yang utama memutuskan untuk “mengambil dasar atau pendirian yang lebih harmoni dengan sentimen yang disuarakan rakyat mereka”.
Tamimi, yang mengetuai Alhiwar TV, saluran hal ehwal semasa Arab yang kritis terhadap dasar Saudi berkata, pemimpin di KL mendekati suatu pakatan yang melawan “pakatan revolusi-balas pimpinan Saudi-UAE di dunia Islam”.
Ini mungkin merujuk kepada pakatan ketenteraan yang mengebom Yemen sejak 4 tahun lalu bagi menyokong kerajaan pro-Saudi di Yemen, serta peranan aktif Riyadh pada 2013 dalam menggulingkan presiden Mesir pertama yang terpilih secara demokrasi, Mohamed Morsi.
“Saya kagum melihat emir Qatar kerana melawan tekanan ke atas negara kecilnya daripada entiti lebih besar di Timur Tengah, termasuk Arab Saudi dan Mesir,” kata Tamimi kepada FMT.
Sarjana Turki terkenal, Mustafa Akyol berkongsi pandangan itu, mengatakan sidang tersebut berjaya mematahkan naratif anti-Syiah yang dihalakan dunia Sunni terhadap Iran.
“Sektarianisme adalah masalah besar di dunia Islam hari ini, dan cara terbaik menanganinya bukanlah dengan mengadakan suatu ‘blok Sunni’ terhadap Iran, seperti yang difikirkan beberapa pihak, tetapi dengan meniadakan sebarang blok sama sekali,” kata penulis yang berpangkalan di AS itu kepada FMT.
Beliau bagaimanapun menambah Iran juga harus dipersalahkan.
Akyol, yang mengkritik dasar tidak demokratik oleh kerajaan Islam termasuk Malaysia, menyambut baik pandangan jujur Mahathir iaitu umat Islam tidak lagi dihormati di pentas dunia.
“Itulah sebabnya kenapa ‘orang Islam liberal’ yang selalu diburuk-burukkan, termasuk saya, menyeru beberapa isu penting dalam tradisi Islam direnungkan semula.
“Kita boleh lihat ajaran yang tidak menghormati kebebasan, yang taksub dan menindas, hanya menjejaskan agama dan masyarakat kita,” kata Akyol, yang kuliahnya di Malaysia pernah terhenti selepas ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Faktor domestik
Sidang Kemuncak KL bagaimanapun tidak dapat dipisahkan daripada keriuhan politik dalam negara Malaysia.
Pertama, pemilihan pembentang tempatan, dipercayai dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri, menyebabkan beberapa pihak kurang senang di sebalik perdebatan adakah Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim seperti dijanjikan.
Sesetengah orang melihat persidangan itu mengetepikan Anwar, walaupun beliau berusaha menjaga imej Islamnya dengan kemunculan di forum Islam serata dunia.
“Ketiadaannya menarik perhatian, terutama apabila Erdogan, yang beliau kata merupakan kawan baiknya, menghadiri sidang itu,” kata sumber.
Penyokongnya menunjukkan gambar Anwar meraikan Erdogan pada satu makan malam ketika beliau tidak menghadiri makan malam pra-sidang yang dihoskan oleh Mahathir, mengatakan ia menunjukkan pilihan pemimpin Turki itu antara presiden PKR itu dengan perdana menteri.
Tetapi seorang diplomat Turki menepis pendapat itu.
“Makan malam itu bukan untuk menteri atau ketua negara. Tiada ketua negara menghadiri makan malam itu,” katanya kepada FMT.
Seorang sumber PKR berkata, Sidang Kemuncak KL “mungkin tidak akan disukai Anwar”, dan menambah Anwar dikelilingi “lobi Salafi” yang ada kaitan dengan petro-dolar Saudi.
“Selama berdekad beliau dalam kerajaan, Anwar bergaul dengan kerajaan dan pertubuhan Teluk untuk menunjukkan beliau ‘orang mereka’ di Malaysia, tetapi sekarang keadaan sudah berubah,” kata seorang bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), pertubuhan yang diasaskan Anwar pada penghujung 1970-an.
“Anwar gemar bersama golongan Salafi yang dikatakan progresif, terutama ketika perselisihan antara Saudi dan Qatar,” tambahnya.
Namun katanya, paling penting Sidang Kemuncak KL pada asasnya merupakan cara Mahathir meninggalkan dasar-dasar pro-Saudi dulu.
“Dia tak boleh terus menghentam Barat dan masih setia kepada kerajaan Islam yang mendanai kekuatan tentera Barat,” kata bekas diplomat itu, merujuk kepada Saudi yang menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera AS.
Manfaat ekonomi
Pada penghujung Sidang Kemuncak KL, Mahathir memuji Iran, sesuatu yang jarang diucapkan oleh seorang ketua negara Islam Sunni.
Sumber mengatakan perdana menteri sedar tindak balas daripada agamawan konservatif, serta pimpinan tentera yang dilatih Barat.
Namun seorang sumber tentera memberitahu FMT ramai terlepas pandang klu-klu dalam ucapan penggulungan Mahathir, yang menyaksikan beliau bercakap tentang kelebihan jurutera-jurutera Iran.
Beliau berkata, tema seperti perpaduan Islam, Islamofobia dan dinar emas hanya “perhiasan”, dan Mahathir mahukan sesuatu yang lebih besar.
Beliau berkata, Mahathir sedar tentang kemajuan teknologi Iran, sesuatu yang diakui pengkritik-pengkritik Barat dan Israel apabila menuduh republik Islam itu mempunyai cita-cita nuklear.
Iran mempunyai industri domestik untuk keperluan ketenteraan dan penerbangan, dan kemungkinan mempunyai bilangan universiti yang khusus dalam penyelidikan teknologi paling banyak, selain lebih 30 taman sains dan teknologi di seluruh negara itu.
“Mahathir sedar akan kekuatan itu, dan beliau 100 langkah di depan pemimpin Islam lain dalam menyedari potensi manfaat domestiknya,” kata seorang sumber tentera.
Beliau juga menepis kebimbangan kata-kata keras Mahathir terhadap AS akan memakan diri dari segi ekonomi.
“Dari segi strategi, AS perlukan kita walau apa pun keadaannya dalam usaha melawan China. Sebab itu ia menaja peralatan tentera yang canggih seperti Coastal Surveillance Radars dan Unmanned Aerial Vehicles, dengan penyelenggaraan dan latihan pakar disediakan secara percuma.
“Tapi semua ini tidak memanfaatkan Malaysia. Jadi Mahathir sebenarnya mahu pemindahan teknologi dengan segera, sesuatu yang beliau rasa tak mungkin diperolehi daripada Barat. Di situlah peranan Turki dan Iran,” kata sumber itu.
Seorang bekas diplomat juga mengatakan perkara sama, bahawa Turki, Iran dan Qatar mempunyai kekuatan yang tidak ada pada negara Islam lain.
“Turki mempunyai kekuatan diplomatik di dunia Islam. Kalau tidak mana mungkin kamu boleh ada kedutaan Israel dan dalam masa sama sangat popular di dunia Islam?
“Qatar pula sedia membeli sekutu dengan kemewahannya yang sangat besar dan pelaburannya di serata dunia,” tambahnya.
Zafar Bangash, yang mengetuai badan pemikir dunia Islam, Institute of Contemporary Islamic Thought (ICIT) di Kanada, bersetuju.
Beliau berkata, 4 negara di Sidang Kemuncak KL ada kekuatan masing-masing.
“Empat negara itu kuat dari segi ekonomi (Qatar dan Malaysia), serta ketenteraan (Turki dan Iran).
Ini menimbulkan harapan dalam kalangan umat Islam bahawa beberapa negara Islam bekerjasama menangani beberapa isu mendesak dengan bersungguh-sungguh.”
Selepas selesainya Sidang Kemuncak KL, masih terlalu awal untuk mengetahui bagaimana Saudi akan bertindak balas.
Namun buat masa ini, langkah sudah dibuka dengan kesepakatan negara-negara yang tidak sudi mengikut perintah “khadimul haramain”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.