Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Sesi dialog hanya helah sia-sia Dong Zong kaburi mata
BANGI – Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji
Aminuddin Yahaya menyifatkan persetujuan Dong Jiao Zong supaya isu
pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular diselesaikan
melalui dialog hanyalah satu perbuatan sia-sia.
Ini kerana dakwa beliau, sesi dialog itu
hanyalah helah gabungan pertubuhan pendidikan Cina itu untuk membenarkan
pendirian mereka mengenai tulisan jawi selama ini.
“Tak perlu berdialog sebab mereka bukan
mahu cari kebenaran tetapi hanya mahu menegakkan pendirian mereka
menolak pembelajaran tulisan jawi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb
hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas
mengenai keputusan kumpulan pendesak Cina itu yang bersetuju agar isu
pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular diselesaikan
melalui dialog.
Persetujuan itu difahamkan selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa isu tulisan jawi diselesaikan melalui dialog.
Sebelum ini Anwar menggesa pertembungan
dua pihak berikutan polemik mengenai tulisan jawi diselesaikan menerusi
ruang dialog, bukan penganjuran sebarang sidang yang dikhuatiri bakal
menghangatkan suasana politik dan kaum.
Khamis lalu, Dong Jiao Zong menggesa
pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres membantah
tulisan jawi bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran
jawi di sekolah vernakular.
Kongres itu dijadual berlangsung di Kolej
New Era, Kajang, esok, dengan matlamat kononnya untuk menjaga
kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.
Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin
yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan menganjurkan sebarang himpunan
bantahan berhubung kongres membantah tulisan jawi esok.
“Kita akan lihat dahulu apa yang berlaku esok sebelum mengambil apa-apa tindakan,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.