Kerja pendosan 'activated carbon' dilaksana kurang pencemaran bau
KUALA LUMPUR
– Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih masih belum boleh beroperasi,
berikutan paras pencemaran bau di Sungai Semenyih berada pada paras tiga
ton setakat 6.30 pagi tadi.
LRA itu terpaksa dihenti tugas sepenuhnya bermula Jumaat (20 Disember) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air
Selangor) menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan LRA itu masih belum
dioperasikan sehingga bacaan mencapai paras sifar ton, iaitu tiada
langsung pencemaran bau.
Kenyataan itu menyebut pihak Indah Water
Konsortium dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Urus Air Selangor
sedang giat menjalankan kerja pembersihan lurang kumbahan (manhole)
berhampiran loji rawatan kumbahan (LRK), di mana effluen yang
menyebabkan pencemaran bau disedut keluar.
“Sementara kerja-kerja pendosan
‘activated carbon’ juga telah dilaksanakan bagi mengurangkan kesan
pencemaran bau di Sungai Semenyih,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain, kenyataan itu
turut memaklumkan LRK Bukit Tampoi yang menerima sumber air mentah dari
Sungai Semenyih, turut terpaksa dihenti tugas bermula 3.30 petang
semalam, mengakibatkan 336,930 akaun di 366 kawasan terjejas.
Kawasan terjejas adalah di daerah Kuala
Langat di Kampung Bukit Changgang, Kampung Labohan Dagang, Kampung Olak
Lempit, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Bukit Tampoi, Kampung
Selangor Dredging, Kampung Sungai Manggis, Kilang ISF Dengkil, Kompleks
Perabot Olak Lempit, Pusat Serenti, RRM Bukit Changgang, Telor Datok,
Taman Ambar.
Kawasan lain, antaranya Taman Arked,
Taman Changgang Jaya, Taman Seri Dagang, Taman Seri Manggis, Taman Seri
Telok Datok dan Taman Topaz.
“Bantuan bekalan air kecemasan terus
dipergiatkan dan lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan
keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan
termasuk hospital. Sebelas pusat khidmat setempat dan pili awam masih
meneruskan operasinya 24 jam.
“Pihak Air Selangor menjangkakan tempoh masa pemulihan gangguan bekalan ini mengambil sedikit masa,” menurut kenyataan itu.
Air Selangor menyatakan pihaknya akan
mengeluarkan hebahan dan makluman terkini dari semasa ke semasa dan
mengambil tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan kepada
pengguna.
Orang ramai juga boleh merujuk aplikasi
telefon bimbit ‘Air Selangor’ atau laman sesawang www.airselangor.com
bagi mengetahui perkembangan berkaitan insiden itu. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.