Selasa, 31 Disember 2019

Mengharap 2020 jadi tahun keamanan dan kemanusiaan

MOHD AZMI ABDUL HAMID


ULASAN | Sempena kedatangan 2020 ini, kami menyatakan harapan untuk melihat dekad kedua abad ke-21 ini menjadi Tahun Keamanan dan Kemanusiaan Malaysia.

Melihat kepada senario sepanjang dua dekad yang lalu, dunia sedang menyaksikan kemelut yang sangat kronik dari sudut keamanan dan kemanusiaan.

Jika dinilai dari sudut ekonomi, trilion dolar tersalur untuk menangani ketegangan dan krisis kemanusiaan yang melanda dunia. Malangnya ada pihak yang meraih keuntungan daripada krisis yang dicetuskan itu.

Krisis kemanusiaan yang paling parah juga dapat disaksikan dalam dua dekad yang lalu. Genosid, penghapusan etnik, penafian hak, jenayah perang, polisi aparteid, pelanggaran dan keganasan ke atas hak asasi manusia, undang-undang drakonian - semua ini kelihatan memuncak sehingga memangsakan jutaan orang awam.

Harapan milenium yang diuar-uarkan setakat ini ternyata hanya menjadi impian kosong, malah menjadi petaka besar untuk dunia.

Bermula tahun 2000, dunia dihadapkan dengan krisis alam lingkungan dan krisis peperangan antara negara yang paling membinasakan.

Jutaan orang menghadapi kebuluran, hilang tempat tinggal, menjadi pelarian, terputus bekalan makanan, air bersih dan ubatan. Ada yang dimansuhkan kerakyatan mereka.

Politik antarabangsa dan politik serantau dan nasional menjadi tegang sehingga keamanan dan kemanusian dipergadai serta dipersetankan.

Urus krisis kemanusiaan

Ketegangan yang membawa kepada peperangan telah menghancur beberapa negara di Asia Barat, di benua Afrika serta Amerika Latin.

Sementara itu Malaysia melalui perubahan ekonomi dan politik yang sangat berwarna-warni. Namun cabaran mengurus tadbir negara dengan ekonomi, politik negara sering berdepan dengan konflik kepartian yang melelahkan.

Perubahan kerajaan dalam PRU14 memberi harapan baru tetapi rakyat mendambakan urus kelola yang menumpu kepada memperbaiki sistem penyampaian yang cekap, berintegriti serta beramanah dalam pelbagai sektor pembangunan.

Sementera itu juga pergantungan negara kepada tenaga luar kian meruncing dan reformasi pembinaan sumber manusia masih belum cukup mencapai tahap yang sepatutnya.

Kami meletakkan harapan bahawa 2020 dijadikan lonjakan untuk mencapai keamanan dan meningkatkan usaha menguruskan krisis kemanusiaan dunia.

Dengan yang demikian kami menggariskan tindakan yang sepatutnya dizahirkan kerajaan pada 2020:

1. Mempertingkatkan peranan membantu menyelesaikan konflik berkaitan isu Rohingya, Uyghur, Kashmir dan seumpamanya

Malaysia harus mempunyai pendirian yang tegas dan berprinsip untuk menjuarai isu keamanan dan kemanusiaan. Isu pembebasan Palestin, misalnya, perlu diangkat dengan lebih jelas.

Malaysia perlu mengguna pendekatan yang strategik untuk berperanan dalam pelbagai forum antarabangsa bagi menyelesai konflik yang berlaku.

2. Resolusi dari inisiatif Persidangan Kemuncak Kuala Lumpur 2019 perlu diterjemahkan segera

Negara yang bersetuju dengan pendekatan Malaysia perlu diakrabkan untuk memulakan inisiatif yang lebih dinamik dan progressif dalam pelbagai isu antarabangsa, selain mengukuh serta mengangkat martabat ekonomi mandiri antara negara.
3. Tumpuan kepada dasar ekonomi yang mapan

Ia perlu dijadi tumpuan. Konsep pembangunan yang mengekspolitasi sumber alam secara tidak mapan perlu dihentikan.

Perang perdagangan dan persaingan yang sengit antara kuasa besar memerlukan Malaysia mengambil inisiatif untuk beralih dari sistem kewangan yang terikat kepada dolar AS dan euro.

Sementara itu juga Malaysia perlu mengelakkan diri dari sebarang perjanjian yang boleh menjejaskan ruang polisi untuk menjaga kepentingan negara.

4. Perpaduan nasional membabitkan antara kaum perlu disegarkan semula dalam negara

Perkembangan itu seharusnya berlaku bersekali dengan pengukuhan perlembagaan negara.

Sensitiviti agama dan kepentingan antara kaum perlu dipelihara berdasarkan lunas-lunas Rukun Negara yang disepakati.

5. Mengutamakan kualiti alam sekitar

Isu pemeliharan kualiti alam sekitar perlu dijadikan agenda utama dalam pembangunan negara.
Sepanjang dua dekad lalu Malaysia menyaksikan krisis alam sekitar yang serius.

Malaysia perlu berperanan dalam isu perubahan cuaca demi kesejahteraan alam dan generasi akan datang. Negara perlu mengambil inisiatif dalam isu kritikal seperti guna tenaga, carbon footprint, guna sumber air, keseimbangan ekologi dan memelihari kepelbagaian bio.

6. Bahasa dan budaya kebangsaan

Isu bahasa dan budaya kebangsaan dalam pembangunan perlu disegarkan semula. Penegasan semula penggunaan bahasa kebangsaan dan menterjemahkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan hendaklah disegarkan pada 2020.

Meningkatkan kualiti pendidikan yang berasaskan nilai dan bina karaktor serta membima potensi setiap pelajar perlu digubal segera.


*Mohd Azmi Abdul Hamid ialah presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.