Namun menurut peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla tidak semudah itu untuk membuka semula fail siasatan kes pembunuhan tersebut semata-mata bersandarkan kepada pengakuan Azilah menerusi akuan berkanun itu.
Bercakap dalam program Jom Channel malam tadi, Haniff berkata, apabila sesuatu kes jenayah itu telah diambil seluruh keterangan dan melengkapi semua prosedur sehingga diputuskan bersalah atau tidak bersalah, maka untuk membuka semula siasatan kes tersebut adalah sesuatu yang rumit melainkan ada keadaan khusus.
Katanya, untuk membolehkan kes dibuka semula juga menuntut mahkamah terlebih dahulu membatalkan sabitan kes terdahulu , justeru beliau melihat desakan-desakan supaya kes itu segera dibuka tanpa ada keputusan di pihak mahkamah adalah satu tindakan yang salah.
“Selagi sabitan terhadap Sirul Azhar Umar dan Azilah tidak diubah atau semak semula, maka untuk meminta fail siasatan dibuka pun sudah salah, kes tidak boleh dibuka semula berpandukan akuan bersumpah perlu ada pembatalah atau perubahan sabitan terdahulu sebab ianya sudah muktamad,” katanya yang melihat akuan berkanun Azilah bukanlah satu keterangan yang segar.
BACA: Azilah dakwa Najib arah bunuh Altantuya
Mengulas lanjut, Haniff berkata, antara perkara yang akan dibangkitkan oleh mahkamah yang bakal mendengar permohonan Azilah untuk menyemak semula sabitan hukuman mati yang dikenakan ke atasnya pada 20 April nanti adalah mengapa semua keterangan di dalam akuan berkanun itu tidak diberitahu semasa kes tersebut dibicarakan.
Sedangkan, katanya, kedua-duanya iaitu Azilah dan Sirul mempunyai segala ruang serta peluang untuk memberi keterangan sedemikian di kotak saksi ketika itu, juseru persoalan mengapa sekarang beliau mahu tampil dengan dakwaaan diarah membunuh pasti akan dibangkitkan di mahkamah.
Beliau berkata, mahkamah hanya akan melayan permohonan untuk membuat semakan semula sabitan hukuman mati itu jika ada keadaan khusus di mana Azilah boleh meyakinkan mahkamah bahawa beliau selayaknya diberi ruang seumpama itu.
BACA: Permohonan Azilah semak semula sabitan hukuman mati didengar 20 April 2020
Tanpa mahu mendahului mahkamah, Haniff berkata, pemerhatiannya terhadap akuan berkanun Azilah bertarikh 17 Oktober 2019 dan tular pada 16 Disember lalu mendapati Azilah tidak menyatakan sebarang sebab mengapa beliau tidak mendedahkan perkara tersebut sepanjang perbicaraan dan sehingga hukuman dijatuhkan.
“Mungkin ada afidavit lain yang mahkamah akan lihat, itu saya tidak tahu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kesulitan untuk membuka semula sesuatu kes jenayah yang telah dimuktamadkan apabila wujudnya keterangan yang tidak berkaitan dengan rentetan kes sehingga menimbulkan dua rentetan peristiwa yang bercanggah.
Dalam kes pembunuhan Altantuya, katanya, perlu dilihat sama ada wujud atau tidak rentetan peristiwa diarahkan membunuh atau pembabitan pihak lain oleh pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Menjawab satu soalan mengapa Azilah hanya mengetengahkan dakwaan tersebut selepas 10 tahun kes itu, Haniff sekali lagi mengelak daripada mendahului mahkamah yang akan mendengar permohonan Azilah pada tarikh yang beliau sifatkan sebagai penting iaitu pada 20 April tahun depan.
“Sama ada ianya fikiran terkemudian atau rekaan biar mahkamah yang tanya,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian mengenai persoalan sama ada motif itu penting dalam kes jenayah.
Katanya, dari sudut perundangan motif sebenarnya tidak relevan dalam mana-mana kes jenayah sebaliknya motif hanya dibangkitkan untuk memahamkan semua pihak tentang rentetan perisitwa yang membawa kepada terjadinya jenayah itu. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.