Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Parti perkauman jadi 'lebih DAP dari DAP' sejak menang Tg Piai
BANGI
– Sejak memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, MCA bagai
mendapat ‘nafas baru’, malah menjadi lebih cauvinis dan Islamofobia,
kata Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji
Aminuddin Yahaya.
Beliau berkata demikian selepas Presiden
parti perkauman MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membangkitkan isu
kebenaran yang diberikan kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuat program di universiti
dan sekolah.
Terdahulu, Ka Siong mendedahkan surat KPM
kepada semua pengarah pelajaran negeri mengenai aktiviti Rakan Siswa
Yadim untuk menjalankan aktiviti dakwah di sekolah, politeknik, kolej
komuniti, universiti awam dan universiti swasta terpilih.
Presiden parti perkauman itu turut mempersoalkan mengapa penyebaran agama dicampur adukkan di sekolah.
Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin
berkata, MCA bangkit dengan semangat mahu menjadi ‘lebih DAP dari DAP’
bagi memenangi hati orang Cina.
“Terlalu banyak isu dan kontroversi yang
dibangkitkan MCA selepas PRK Tanjung Piai seperti isu jawi, UEC, pilihan
raya PBT dan sebagainya.
“Terkini, presiden MCA mempertikaikan
pembabitan ‘Rakan Siswa Yadim’ ke dalam universiti dan sekolah-sekolah
dengan menuduhnya sebagai Islamisasi.
“Pertama sekali, salahkah sebarang usaha
Islamisasi di Malaysia? Bukankah sudah termaktub dalam Perlembagaan
bahawa Islam sebagai agama bagi Persekutuan? Bermaksud Malaysia adalah
negara Islam,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Haji Aminuddin yang juga Pengerusi
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yakin sekiranya Yadim
masuk ke sekolah vernakular, ia adalah lebih berpeluang untuk
menjelaskan keharmonian Islam, menjelaskan salah faham terhadap Islam
supaya tidak ada elemen kebencian kepada agama itu.
Bahkan tindakan itu juga sekali gus
menangkis Islamofobia, bukannya untuk menukarkan agama pelajar Cina
kepada Islam, tegas beliau.
“Justeru, mengapa Ka Siong membuat tuduhan melulu tanpa mengkaji tujuan dan motif pihak KPM mengeluarkan arahan demikian?
“Adakah beliau hanya mahu menghasut
masyarakat Cina dengan menggunakan Islamofobia? Ini nampaknya serupa
seperti taktik dan modus operandi DAP sahaja.
“Saya sama sekali tidak menghalang
mana-mana pihak untuk bekerjasama dengan MCA tetapi perlulah kita
bertegas supaya jangan yang dikejar tak dapat dan yang dikendong
berciciran,” kata Haji Aminuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.