Ahad, 22 Disember 2019

‘Kita boleh jadi seperti Uyghur jika parti cauvinis kuasai negara’

fazleen safina

 

Ikut sejarah, komunis dan evangelis amat bermusuh dengan Islam

BANGI – Tidak mustahil umat Islam di Malaysia akan menerima nasib sama seperti etnik minoriti Islam Uyghur di China, sekiranya parti cauvinis menguasai sepenuhnya pemerintahan negara.

Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ir Muhammad Lukman Al Hakim berkata, umat Islam di Malaysia harus kekal bersatu dan memastikan dominasi Melayu serta Islam dalam senario politik negara, jika tidak mahu keadaan sama menimpa.

Beliau menegaskan, identiti Islam sebagai agama Persekutuan serta syiar-syiarnya yang dilindungi undang-undang perlu dipertahankan semua pihak.

“Kita perlu menguasai sejarah dan membuat bacaan masa depan. Semua seksaan dan diskriminasi ini amat jelas bertentangan dengan hak asasi manusia dan kebebasan beragama yang diterima seluruh warga dunia.

“Namun, seluruh dunia juga senyap seribu bahasa, dan kerajaan China terus berleluasa dan semakin kuat menekan. Fenomena ini seakan sama seperti apa yang menimpa umat Islam di Palestin, Syria dan Myanmar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Lukman berkata, banyak tindakan dan pendirian satu parti cauvinis yang antinasional, selain sangat membenci Islam.

Beliau berkata, perkara itu seharusnya menimbulkan kerisauan dalam kalangan umat Islam, apatah lagi bibit-bibit kebencian terhadap agama Islam telah lama wujud dan semakin menebal di negara ini.

“Jika dikaji dan diteliti sejarah parti cauvinis ini, kita dengan mudah dapat mengaitkannya dengan idea komunis dan evangelis yang kedua-duanya amat memusuhi Islam sepanjang sejarah kemanusiaan.

“Justeru, segala ideologi parti cauvinis ini harus dikekang dan parti ini harus ditamatkan riwayatnya dalam senario politik negara. Kita harus bertindak sekarang sebelum terlambat. Jangan sudah terhantuk baru terngadah!,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.