REMBAU: Kedai Gunting Rambut P.Ramlee di Jalan Dato Undang di sini tidak ada kena mengenai dengan Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee atau keluarga kerana kedai itu milik seorang warga emas berbangsa Cina.
Namun Kedai Gunting Rambut Ah Kim ini diberi jolokan Kedai Gunting Rambut P.Ramlee oleh penduduk setempat dan dimuat naik dalam carian Google di internet kerana pemiliknya merupakan peminat tegar seniman agung itu walaupun telah 46 tahun meninggal dunia.
Tidak hairan sekiranya Ng mendapat jolokan sebagai ‘P.Ramlee Rembau’ dalam kalangan penduduk setempat.
"Mana-mana pelanggan yang baharu berkunjung ke kedai saya, mereka akan menganggap saya sebagai orang Melayu kerana suara saya tidak seperti orang Cina termasuk ketika menyanyikan lagu P. Ramlee," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Menjadikan P. Ramlee sebagai ikonnya, Ng mengakui dia mula minat untuk belajar menyanyi mengikut alunan lontaran suara seakan-akan seniman agung itu sejak berusia 16 tahun, di samping kehidupan bersama masyarakat Melayu, menjadikan lagu Melayu tidak asing baginya.
“Ketika itu, saya mengikut semua bait-bait lirik yang dinyanyikan P.Ramlee hanya berbekalkan piring hitam ketika era 60an,” katanya.
Dek kerana sentiasa ‘dahagakan’ lagu dendangan P.Ramlee, beliau juga terpaksa mengikuti perubahan zaman dan mula beralih kepada kaset, kemudian diikuti cakera padat (CD) dan video cakera padat (VCD).
"Zaman dahulu memang susah untuk belajar (kelas) menyanyi, dan saya bermula dari piring hitam, kemudian kaset yang saya pasang ketika menggunting rambut pelanggan dan dalam masa yang sama saya belajar menyanyi.
“Selepas itu beralih pula ke zaman lebih moden, dan saya mula mencari CD dan VCD selain meminjam daripada penduduk kampung untuk saya belajar lagu-lagu P. Ramlee yang masih belum saya dengar dan hafal,” katanya.
Tetapi kini menurut Ng, beliau boleh menikmati lagu dendangan seniman agung itu menerusi carian di internet.
“Ketika ini mudah untuk dicari kerana semua perkara kita boleh dapat dihujung jari. Tekan sahaja P. Ramlee semua keluar di internet," katanya.
Mengimbau kenangan manis, bapa kepada lima orang anak itu berkata beliau pernah menerima undangan untuk menyertai pertandingan menyanyi di Singapura suatu ketika dahulu, namun akibat kesempitan hidup, beliau terpaksa membatalkan hasrat tersebut.
"Saya juga pernah diundang untuk menyanyikan lagu P. Ramlee ketika (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10) Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman masih hidup dan saya amat berbangga kerana dapat menyanyikannya.
“Itu merupakan satu penghargaan tertinggi bagi diri saya," katanya.
Menurutnya lagi, antara lagu kegemarannya ketika mengunting rambut pelanggan adalah 'Jangan Tinggal Daku' dan 'Getaran Jiwa' kerana ia juga merupakan lagu yang sering diminta oleh pelanggan. -- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.