Sabtu, 28 Disember 2019

Jawi: Dong Zong menang walau kongres batal

siti hafidah

 

Taktik tolak ansur berjaya huru-hara negara, 'cairkan' masyarakat

BANGI – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komunis ultra kiasu tetap menang meskipun perhimpunan hari ini dibatalkan, dakwa pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau mendakwa, tanpa arahan polis sekalipun, kumpulan pelampau Cina itu akan membatalkan juga perhimpunan bantah tulisan jawi di sekolah vernakular kerana telah berjaya menjadikan rakyat kelam kabut dan tidak tahu punca.

“Strategi mereka sejak dahulu tetap sama iaitu tuntut seekstrem-ekstremnya sehingga semua jadi geram. Mereka tahu ia tidak masuk akal. Kerajaan yang diterajui orang Melayu dan orang Melayu sendiri pasti akan marah dan bertindak balas.

“Ultra kiasu komunis tahu itu semua. Setelah mereka berjaya menunjukkan ‘bertolak ansur’ dengan bersetuju membatalkan perhimpunan tersebut, maka ramailah orang yang akan memuji tindakan komunis ini. Maka cairlah kita,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akur dengan perintah yang mengarahkannya untuk batalkan persidangan berkaitan isu tulisan jawi pada hari ini.

Ahli Jawatankuasa Dong Zong, Low Chee Chong berkata, pihaknya tiada pilihan lain melainkan untuk menurut perintah yang dikeluarkan mahkamah.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee mengingatkan semua pihak untuk tidak terlalu seronok dengan pembatalan kongres itu.

“Strategi mereka telah berjaya. Adakah kita akan terus bertindak ‘action oriented’ iaitu bila komunis ini mahu berhimpun, kita pun terus bertindak balas. Atau kita mesti proaktif untuk berhadapan mereka.

“Justeru, buatlah strategi dari sekarang untuk berhadapan dengan ultra kiasu komunis ini. Sudah tentu paling berkesan, bersatulah kita sebagai umat Islam dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Selagi mana kita berpecah, selagi itulah musuh terus mengambil kesempatan,” kata beliau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.