YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pendirian beliau adalah konsisten dan ianya diulang dalam kenyataan-kenyataan lain antaranya dalam satu interbiu dengan USA Today sekitar tahun 2017 beliau menegaskan ancaman dan ketakutan sebenar kepada dunia adalah keganasan bukannya Rusia. Keganasan yang dimaksudkan di sini ialah pemikiran radikal Islam dari Timur Tengah yang disebarkan ke seluruh dunia termasuk orang Islam di Barat.
Bagaimana Ketakutan Terhadap Islam Di Bentuk
Selepas penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, tidak ada ancaman yang paling besar ke atasnya melainkan kumpulan-kumpulan Islam yang lahir khususnya selepas berlakunya intifadhah pertama pada tahun 1988. Sebelum itu Israel tidak merasa terancam kerana satu persatu negara-negara Arab berjaya ditundukkan samada melalui peperangan atau perjanjian-perjanjian yang mengguntungkannya yang dibiayai oleh Amerika Syarikat dan Eropah seperti perjanjian Camp David yang berjaya menyekat kemaraan tentera Mesir ke atas Israel.
Ditambah lagi dokongan dan sokongan pertahanan yang kuat oleh Amerika Syarikat kepada Israel sehingga memberi keizinan kepadanya untuk membina senjata nuklear bagi mempastikan Israel adalah negara terkuat di Timur Tengah.
Namun adakah senjata nuklear itu boleh menghapuskan kumpulan-kumpulan seperti Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah? Jawapannya sudah tentu tidak kerana kumpulan-kumpulan ini bukan berdiri di atas entiti sebuah negara. Oleh itu sesuatu mesti dilakukan bagi menghapuskan bahaya dan ancaman ini.
Samada kebetulan atau dirancang tidak lama selepas berlakunya peristiwa 9/11 di New York, Amerika Syarikat, bekas Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush mengisytiharkan kempen Perang Menentang Keganasan yang menyasarkan kumpulan-kumpulan radikal Islam seperti Al-Qaeda dan Taliban dengan meletakkan kesalahan ke atas ugama Islam yang menjadi puncanya kerana terdapat di dalamnya ajaran Jihad dan peperangan.
Sejurus itu satu demi satu kumpulan-kumpulan Islam disenaraikan sebagai pengganas termasuk kumpulan Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah dengan alasan kumpulan-kumpulan ini melakukan keganasan ke atas sebuah negara yang berdaulat iaitu Israel.
Dalam masa yang sama fenomena Islamofobia merebak dengan begitu cepat umpama api yang membakar kayu di seluruh pelusuk dunia khususnya di negara-negara barat.
Tasawwur Islamofobia
Islamophobia ialah perasaan takut dan benci terhadap Islam sehingga melahirkan permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar berdasarkan kepada Al-Quraan dan As-Sunnah. Islamofobia kini sudah menjadi ideologi sehingga menyebabkan penyisihan berlaku terhadap Islam dan penganutnya sehingga kepada tahap mendiskriminasikan pertubuhan, parti politik dan negara yang menjadikan Islam sebagai agendanya.
Ia adalah satu fenomena yang lahir dari persepsi yang dimainkan oleh media massa barat yang memberikan gambaran yang tidak adil terhadap Islam bahkan sampai tahap menanamkan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain khususnya Barat. Ia bertambah buruk apabila sikap ini disokong oleh ahli-ahli politik barat samada kiri atau kanan, tokoh-tokoh ugama, akademik mahupun artis-artis.
Dunia Islam masih tidak dapat melupakan kenyataan Pope Benedict ke 12 yang melabelkan Nabi Muhammad saw sebagai pengganas kerana menyebarkan ugama Islam dengan pedang. Begitu juga karikatur-karikatur dari artis-artis Barat yang menghina Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam.
Akhirnya fenomena ini terbentuk menjadi satu ketetapan di Barat untuk menolak Islam dari semua aspek agar ianya tidak berakar umbi kerana jumlah umat Islam yang semakin bertambah di Eropah dan Amerika Utara.
Islamofobia dan Tempiasnya Ke atas Gerakan Politik Islam
Kempen Perang Menentang Keganasan dan Islamofobia bukan sahaja menyasarkan kumpulan-kumpulan radikal Islam khususnya yang mengambil pendekatan bersenjata bahkan juga yang paling terkesan ialah gerakan-gerakan politik Islam yang mengambil pendekatan demokrasi di serata Dunia Islam.
Ini terbukti apabila beberapa negara Islam menggunakan alasan ini untuk mengambil tindakan-tindakan yang keras terhadap gerakan-gerakan Islam dan pimpinannya. Presiden Mesir, Abdul Fattah As-Sisi sebagai contoh bertindak mengharamkan Ikhwan muslimin dan ramai pimpinannya dipenjarakan tanpa perbicaraan yang adil.
Perkara sama berlaku ke atas PAS di Malaysia apabila DAP menimbulkan satu persepsi jahat Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO akan membawa Malaysia menjadi seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban.
Jika diteliti dengan lebih mendalam matlamat utama daripada virus Islamofobia ini ialah untuk menyekat gerakan politik Islam yang meletakkan matlamat untuk merubah sistem politik jahiliyyah yang ada pada hari ini yang terpesong daripada petunjuk Allah SWT yang sebenar.
Bayangkan jika sekiranya sistem politik Islam yang mementingkan kerohanian, kesaksamaan, kebajikan dan perdamaian ini difahami dan dipelajari oleh bukan Islam dan penentang Islam, nescaya mereka akan dekatkan diri mereka dengan Islam lalu mengucapkan syahadah.
Tidak dinafikan gerakan dan kempen menakut-nakutkan masyarakat barat terhadap Islam ini berjaya kerana musuh-musuh Islam mempunyai kuasa dan sumber yang banyak untuk melakukannya namun begitu Islam adalah cahaya Allah yang tidak boleh dihapuskan sama sekali.
Ini terbukti daripada perkembangan Islam yang menjadi ugama paling cepat tersebar di seluruh pelusuk benua khususnya Amerika dan Eropah. Maka benarlah janji Allah di dalam Al-Quran bahawa musuh-musuh Islam tidak boleh memadamkan cahaya Islam dan cahaya ini akan sampai di tempat sampainya siang dan malam.
Sebenarnya Kesalahan Dunia Barat Mahu Dikaburi Dengan Islamofobia
Banyak kesalahan Dunia Barat mahu dipadamkan dengan menyalahkan Islam serta menakutkan dunia dengan keganasan yang kononnya dicetuskan oleh Islam. Walau tidak dinafikan terdapat pengganas dikalangan umat Islam yang bilangannya hanya terlalu sedikit, keganasan yang dilakukan oleh Barat yang menghancurkan Dunia Islam mahupun menyebabkan jutaan umat Islam terbunuh akibat tindakan mereka adalah terlalu banyak dan boleh dikaji secara mendalam kerana ia berlaku sejak berkurun abad lamanya.
Israel, Amerika Syarikat dan banyak negara – negara Eropah acap kali mengajak seluruh dunia mengenang dan mengecam tindakan ganas Nazi dan Adolf Hitler terhadap bangsa Yahudi di German yang digelar Holocaust. Pembunuhan ratusan ribu bangsa Yahudi oleh Nazi dan Hitler dikecam hebat oleh Dunia Barat sehingga digambarkan sebagai “ Massacre of The Century “ yang akhirnya Presiden German Frank Walter Steinmeier memohon maaf diatas kekejaman tersebut.
Namun berbeza dengan Palestin, Dunia Barat menyokong tindakan Zionist Israel bertindak kejam, menghalau, merogol dan membunuh rakyat Palestin yang jumlahnya mencecah angka yang tidak mampu dihitung. Ketika perang dunia pertama dan kedua, bangsa Yahudi ditindas dan dizalimi, majoritinya di Eropah. Mereka lari meninggalkan Eropah dan antara destinasi utama mereka ialah Palestin kerana terdapat penduduk asal Palestin berbangsa Yahudi yang jumlahnya kecil berada disana.
Setelah beberapa lama, jumlah bangsa Yahudi yang berhijrah ke Palestin semakin ramai termasuk yang berfahaman ekstremis seperti Zionist. Akhirnya setelah beberapa peperangan dengan negara Arab dan seperti yang dilihat hari ini, bangsa Yahudi akhirnya menjajah Palestin setelah jutaan umat Islam Palestin terkorban dan jutaan lari meninggalkan kampung halaman. Majoriti penduduk haram Israel bukan berasal dari Palestin mahupun Timur Tengah. Boleh dikatakan hampir 95 peratus daripada mereka kebanyakkan mereka berasal dari Eropah seperti Poland, Hungary, German, Russia dan beberapa negara Eropah lagi. Ada juga bangsa Yahudi yang datang dari Amerika Utara dan Afrika. Yang lebih mengejutkan, mereka mengaku Palestin tanah air mereka sedangkan mereka bukan berasal dari Palestin mahupun Timur Tengah.
Apabila rakyat Palestin bangkit menentang penjahahan dan kezaliman, mereka digambarkan dan digelar pengganas. Tindakan Zionist Israel membunuh rakyat Palestin dianggap mempertahankan diri dan negara, sebenarnya Palestin milik siapa ? Seharusnya dunia barat patut sedar, Zionist Israel adalah penjajah dan Palestin adalah milik penduduk Palestin.
Begitu juga di Afghanistan, ketika Russia menceroboh Afghanistan pada tahun 1979, rakyat Afghanistan bangkit memerangi Russia sehingga menyebabkan perang tersebut berlanjutan hampir 10 tahun. Ketika itu rakyat Afghanistan yang bangkit menentang Russia turut digambarkan sebagai pengganas oleh dunia barat.
Ketika Iraq mula diambil alih oleh Amerika Syarikat, British dan sekutu mereka akibat daripada tuduhan Saddam Hussein melindungi Al-Qaeda dan membina senjata pemusnah, rakyat Iraq mula menyokong mereka namun lama kelamaan rakyat Iraq sedar mereka sebenarnya ditipu setelah mereka dijajah dan disedut hasil bumi mereka. Ketika mereka bangkit menentang Amerika Syarikat dan sekutunya, mereka dilabel sebagai pengganas.
Begitu juga di Libya dan Syria, rakyat yang bangkit menentang penjajahan dan peperangan digelar pengganas oleh dunia barat dan media mereka. Kita tidak nafi di negara – negara tersebut terdapat konflik dalaman sesama mereka namun dengan dunia barat campurtangan dab menyerang negara mereka, keadaan menjadi lebih buruk.
Walau Saddam Hussien dan Muammar Gadaffi telah meninggal dunia, keadaan tetap teruk malah bertambah buruk. Jika kita kaji secara teliti, lahirnya keganasan adalah akibat daripada tindakan dunia barat kerana mereka menindas, menjajah, menyerang mahupun menyedut hasil bumi Dunia Islam.
Dunia barat adalah punca dan penyebab utama lahirnya keganasan. Lalu setelah bangkit umat Islam menentang dunia barat kerana sikap dan perbuatan mereka, mereka dilabelkan sebagai pengganas. Dunia baratlah pengganas utama sebenarnya, mereka mengganas kerana mahu menakluk, menjajah, memeras dan mengaut hasil bumi Dunia Islam.
Kerana Dunia Barat, lahirnya umat Islam yang bangkit menentang mereka. Ada yang mengikut kaedah demokrasi, perdamaian, perundingan namun tidak kurang yang mengambil jalan memerangi dunia barat semula malah ada yang bertindak ekstrim.
Sedikit yang ekstrim inilah dimanipulasi oleh dunia dan media barat sebagai mewakili Islam, yang inilah yang dipapar oleh dunia dan media barat sebagai pengganas untuk mengaburi dunia bahawa dunia barat sebenarnya adalah penyebab utama berlakunya keganasan. Yang inilah dieksploitasi untuk menakutkan dunia terhadap Islam.
Maka Islamofobia yang berlaku adalah usaha berpanjangan mereka untuk memburukkan Islam dan Dunia Islam dengan menggambarkan mereka sebagai “ Hero “ dan penyelamat dunia sedangkan sebenarnya mereka adalah punca utama keganasan atau lebih tepat lagi, pengganas yang sebenar.
Sikap Dunia Barat Tidak Pernah Berubah Sejak Dahulu
Dunia barat sebenarnya tidak pernah berubah sejak dari dahulu lagi bermula dengan Kerajaan Rom dan Byzantine, mereka menjajah, merompak hasil bumi penduduk dan negara yang dijajah, menindas, menzalimi serta membunuh. Sebagai contoh Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Tanah Melayu pernah dijajah oleh dunia barat dari Portugis, Belanda dan Inggeris.
Motif penjajahan mereka ialah memonopoli hasil bumi seperti rempah ratus, bijih timah selain menyebarkan agama Kristian. Kita bernasib baik kerana berjaya berunding untuk memperolehi kemerdekaan namun bukan semua Dunia Islam bernasib baik seperti kita sebagai contoh Palestin.
Namun kita jangan lupa, didunia barat juga terdapat banyak kumpulan pengganas yang merbahaya seperti Klu Klax Klan ( KKK ), Neo Fascist dan Neo Nazi yang bertebaran di Eropah dan Amerika Utara. Kumpulan – kumpulan ini adalah kumpulan ekstremis kulit putih ekstremis yang berfahaman pengganas dan banyak daripada kumpulan ini disifatkan merbahaya oleh agensi perisikan dan keselamatan dunia.
Untuk tahun 2019, FBI telah melaporkan bahawa kumpulan ekstremis kulit putih adalah kumpulan yang paling banyak mencetuskan keganasan di Amerika Syarikat. Mereka bukan sahaja memusuhi umat Islam malah agama, kaum dan bangsa lain diserata dunia.
Kumpulan – kumpulan ini di Eropah membakar masjid, menganggu dan menzalimi umat Islam, merosakkan harta benda dan merampas harta orang Islam malah ada yang bertindak mencederakan malah membunuh orang Islam.
Jika masih ingat Apartheid, maka kita akan tahu kezaliman kaum kulit putih di Afrika Selatan terhadap kaum kulit hitam. Perkara tersebut sama seperti yang berlaku di Palestin namun keadaannya lebih teruk dan buruk. Namun adakah keganasan seperti yang berlaku di Eropah terbentang dimedia masssa barat dan dimainkan sebagai pengganas ? Jawapannya tidak kerana mereka menguasai media dan tidak mahu dunia mengetahui perkara tersebut.
Akibat daripada sikap dan fahaman kumpulan – kumpulan white nationalist inilah yang menyebabkan berlaku ketidakadilan terhadap dunia islam dan umatnya kerana mereka menganggap mereka agung, bijak dan berkuasa. Sama seperti ketika Hitler dan Nazi berkuasa di German dahulu, mereka mengganggap diri mereka suci dan terpilih kerana berbangsa Aryan iaitu bangsa pilihan tuhan lalu bangsa – bangsa lain perlu dihapuskan, disisihkan dan tidak lebih seperti hamba dan pekerja bagi mereka.
Sikap inilah sebenarnya sikap dunia barat dan hipokrasi mereka, merekalah sebab utama berlakunya keganasan dan lahirnya Islamfobia, yang lahir dari sikap dan tindakan keganasan mereka.
Maka sebenarnya sudah sampai masa umat Islam bersatu dan berkerjasama demi masa depan Dunia Islam kerena selagi mana tidak bersatu dan berpecah belah, selagi itulah gelap masa depan Dunia Islam. Lebih berkecamuk dan berpecah belah Dunia Islam, makin bertambah kebencian dunia terhadap Islam dan umatnya sekaligus menguatkan lagi Islamofobia. Islam tidak harus berada dibawah dan ditindas, Islam harus berada diatas dan memimpin. Islam adalah lambang kekuatan dan kemakmuran umatnya, bukan lambang kemuduran dan kecelakaan.
Lihat sahaja dalam negara, umat Islam berpecah belah dan berbalah sesama sendiri. Islam seharusnya menjadi lambang perpaduan dan kekuatan, namun ramai diantara kita hanya bermuka – muka terhadap Islam, ambil ketika untung dan buang ketika hendak rugi. Islam hanya diambil ketika raya, hukum faraid dan nikah kahwin namun dibuang apabila soal hukum, undang – undang dan pemerintahan hendak dilaksanakan. Islam membimbing hidup bukan hanya didunia malah diakhirat.
Mungkin didunia kita berkuasa dan berharta, namun diakhirat diseksa dan terperosok di neraka.
Semoga Allah SWT lindungi Dunia Islam dan umatnya, semoga diberkati dan dirahmati.
YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.