Selasa, 31 Disember 2019

Hishammudin mahu terus beri tekanan kepada PH

Wartawan MalaysiaGazette
MG211019_SIDANG-DEWAN-RAKYAT01-1
Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertekad mahu terus memberi tekanan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun depan.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata , ia merupakan visi peribadinya.

“Secara peribadi, visi saya untuk tahun 2020 ini ialah, saya mahu fokus terhadap usaha untuk memberi lebih tekanan kepada kerajaan PH agar membentangkan lebih banyak polisi yang menguntungkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan sempena tahun baru hari ini.

Menurut Hishammuddin, untuk tahun 2020 beliau berharap matawang ringgit semakin kukuh, ekonomi negara semakin stabil, harga barang lebih berpatutan, harga komoditi meningkat, peluang pekerjaan khususnya untuk anak muda bertambah serta pelbagai lagi pencapaian yang menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

“Saya percaya, seandainya semua pihak memainkan peranan masing-masing serta bijak membezakan antara kepentingan rakyat, kepentingan parti dan kepentingan peribadi, insyaAllah tahun 2020 akan menjadi tahun yang jauh lebih cemerlang daripada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin berkata, sejak dari awal tahun, bukannya sedikit perbalahan dan polemik baru yang sebahagian besarnya berpunca daripada isu yang remeh temeh.

Lebih menyedihkan, ia bukan sahaja berlaku dalam Pakatan Harapan, tetapi juga dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kita seakan-akan lupa, sebahagian besar kita ialah pemimpin. Yang telah diamanahkan untuk berjuang serta berkhidmat dengan ikhlas, jujur, amanah dan bertanggungjawab demi jutaan rakyat di luar sana. Malangnya, segelintir kita lebih taksub, lebih ghairah dan lebih rela berbalah, asalkan agenda peribadi tercapai. Akhirnya, yang jadi mangsa ialah rakyat jua!

“Saya sendiri telah berjumpa dan berbicara dari hati ke hati dengan warga #SembrongKita serta masyarakat di kawasan-kawasan yang telah diadakan Pilihanraya Kecil (PRK). Sejujurnya, saya amat sedih mendengar luahan mereka yang ternyata sudah terlalu kecewa, marah dan lesu dengan situasi politik negara hari ini,” katanya lagi.

Justeru, jangan sesekali kita menganggap kemarahan rakyat sebagai petanda keyakinan mereka terhadap parti kita telah bertambah. Kita mesti sedar dan insaf, segelintir rakyat masih turut marahkan UMNO dan BN, katanya.

“Jadi, siapa pun kita dan apa jua jawatan serta peranan kita dalam parti, berusahalah sedaya upaya bagi meredakan kekecewaan serta kemarahan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.