Hari ini, Malaysia akan berpeluang menyaksikan kejadian alam yang jarang-jarang berlaku, gerhana matahari cincin atau anulus di Tanjung Piai, Johor dan Serian di Sarawak.
Kali terakhir fenomena alam ini terjadi kira-kira 21 tahun yang lalu di Mersing, Johor pada 22 Ogos 1998.
Pengarah Planeterium Negara Anita Bahari dilaporkan berkata sebelum ini bahawa, fenomena alam yang berlaku setiap 20 tahun, kali ini hanya akan berlaku di dua kawasan tersebut sahaja kerana pada ketika itu kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.
“Tanjung Piai terkenal dengan gelaran Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Benua Asia di Pontian, Johor.
Menurutnya, fenomena itu akan berlangsung pada jam 11.26 pagi (fasa pertama) dan menghasilkan Anulus (fasa empat) tepat jam 1.21 petang di Tanjung Piai - manakala di Serian bermula jam 11.49 pagi dan menghasilkan gerhana penuh pada jam 1.46 petang.
Gerhana matahari cincin berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari dan disebabkan ketika itu, bulan berada sedikit jauh daripada bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.
Akibatnya di dalam kawasan atau berhampiran dengan kawasan laluan tengah gerhana ini, matahari akan kelihatan seperti cincin.
Sementara itu, pada hari ini berbagai masjid dan surat mengadakan majlis solat sunat gerhana di seluruh negara.
Solat akan diimamkan Ustaz Muhammad Afif Jamal daripada Masjid Negara di Ruang Legar Planetarium Negara pada jam 11.30 pagi ini.
Laman Facebook Planetarium Negara pula membawakan laporan secara langsung fenomena alam ini.
Secara amnya, laluan gerhana cincin ini akan bermula dari Semenanjung Tanah Arab, kemudian memasuki selatan India dan Sri Lanka, seterusnya Asia Tenggara merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sebelum ia berakhir di lautan Pasifik.
Di Taman Negara Tanjung Piai, Johor gerhana matahari cincin boleh dilihat selama 2 minit 31 saat, menurut laman astronomi tempatan, Falak Online.
"Selain daripada kawasan di atas, seluruh Malaysia dan Brunei, serta sebahagian Singapura akan dapat menyaksikan gerhana matahari separa.
"Di kawasan ini, ketika waktu puncak gerhana, matahari tidak akan kelihatan seperti cincin, tetapi lebih menyerupai bentuk ‘bulan sabit’," kata Falak Online.
Fasa gerhana matahari berlangsung selama kira-kira 3 jam 51 minit, bermula dengan kemunculan bayang-bayang bulan dan sampailah ke saat bulan kembali hilang.
Falak Online mengingatkan orang ramai untuk menggunakan kaedah yang betul dan selamat untuk melihat gerhana ini.
"Kena ingat matahari ini amat terang dan amat berbahaya.
"Jangan sekali-kali pandang ke arah matahari tanpa penapis matahari yang betul," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.