Rabu, 25 Disember 2019

Bersatu Terengganu lapor polis dakwaan PH dikuasai komunis

NORHASPIDA YATIM





Badrolhisham (kanan) bersama Setiausaha Bersatu Marang, Rusmizan Awang ketika membuat laporan polis di IPD Kuala Terengganu hari ini.
 

KUALA TERENGGANU - Bersatu Terengganu membuat laporan polis terhadap dua individu iaitu seorang penceramah dan ahli politik yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikuasai komunis.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu jam 10 pagi tadi.

Ketua Penerangan Bersatu Terengganu, Badrolhisham Mohd Shafie berkata, laporan terhadap penceramah itu dibuat berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial pada 22 Disember lalu.

Katanya, video itu jelas menunjukkan penceramah terbabit mendakwa kerajaan kini diperintah komunis dan negara Malaysia adalah negara komunis.

"Tuduhan itu amat mendukacitakan dan menunjukkan ia telah membelakangi sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara ini.

"Kenyataan itu juga jelas menghasut rakyat untuk membenci kerajaan sekaligus boleh mendatangkan ketegangan dan keresahan dalam kalangan rakyat selain mengancam keselamatan negara," katanya ketika ditemui di IPD Kuala Terengganu hari ini.

Dalam perkembangan sama katanya, laporan polis juga dibuat terhadap seorang ahli politik yang turut membuat dakwaan sama ketika berucap dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) 2019 pada 7 Disember lalu.

Katanya, ucapan ahli politik berkenaan mengaitkan kejadian-kejadian terpencil sebagai 'kebetulan terancang' konspirasi komunisme untuk mengambil alih pemerintahan negara.

"Beliau turut mendakwa kerajaan kini diserapi fahaman komunis.

"Dakwaan ini begitu serius dan beliau perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan mengemukakan bukti yang jelas," katanya.

Sehubungan itu katanya pihaknya meminta tuduhan itu dihentikan dan berharap supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan berhubung dakwaan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

"Kita minta mereka yang melabel kerajaan PH sebagai diresapi fahaman komunisme atau diperintah komunis dapat menghentikan tuduhan itu.

"Ia adalah fitnah bagi kepentingan politik yang bertujuan menggugat kestabilan kerajaan," katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/63230/BERITA/Politik/Bersatu-Terengganu-lapor-polis-dakwaan-PH-dikuasai-komunis



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.